INDEKS JENAYAH DAERAH TAWAU TERUS MENURUN

JASMIN menyampaikan anugerah khas kepada Dg Nur Azarinawaty (kanan) pada majlis itu.

 

TAWAU: Indeks jenayah daerah Tawau menunjukkan penurunan apabila mencatatkan 795 kes pada tahun lepas – dengan kadar 800 kes ke bawah  direkodkan IPD Tawau selama dua tahun berturut-turut sejak 2022 – berbanding purata lebih 1,000 kes pada tahun-tahun sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejayaan itu merupakan hasil komitmen penugasan pegawai dan anggotanya dalam mengambil tindakan terhadap pesalah jenayah dan dadah di daerah ini.

Menurutnya, statistik kes yang dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah turut menunjukkan penurunan agak ketara pada tahun lepas iaitu 3,382 laporan berbanding 4,833 pada 2019.

“Data-data ini adalah hasil kajian menerusi Sistem Laporan Polis Bersepadu yang menunjukkan bahawa jenayah di Tawau agak menurun berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada media selepas Majlis Apresiasi IPD Tawau 2024 di Bilik Mesyuarat IPD Tawau, pada Selasa.

Pada majlis itu seramai 18 pegawai kanan polis terdiri daripada ketua bahagian dan ketua polis balai serta 14 petugas media menerima sijil penghargaan daripada Jasmin.

Sementara itu, dari segi tangkapan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau tahun lepas, Jasmin berkata jabatan itu menahan 1,421 orang melibatkan 1,384 kes atas pelbagai kesalahan dadah.

“Sebanyak 24 kes dan 38 tangkapan dibuat membabitkan siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang melibatkan rampasan 50.6 kilogram (kg) syabu dan 19.4kg ganja, dan jumlah rampasan ini sebenarnya meningkat berbanding 22.4kg pada 2022,” katanya.

Tambahnya, kes dadah merupakan salah satu sasaran polis Tawau selain jenayah.

Mengulas majlis itu pula, Jasmin berkata, penghargaan diberikan kepada pegawai kanannya kerana prestasi cemerlang yang ditunjukkan dalam menjaga ketenteraman daerah ini, yang terbukti menerusi statistik penurunan indeks jenayah Tawau.

“Kita juga memberikan sijil penghargaan kepada rakan-rakan media yang banyak membantu pasukan polis daripada sudut menyampaikan mesej kepada masyarakat, dan secara tidak langsung memberikan kesan serta impak positif dalam usaha kita memerangi jenayah dan dadah di daerah kita ini,” katanya.

Beliau menyifatkan peranan media sangat penting dalam penugasan polis sebagai penghubung maklumat kepada masyarakat.

“Tanpa media kita hanya ‘syok sendiri’ … Masyarakat pula bergantung kepada media untuk mengetahui maklumat kepolisan, termasuk kejayaan-kejayaan kita menangani jenayah dan dadah menerusi platform rasmi media masing-masing, selain media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmin berharap prestasi cemerlang IPD Tawau dan kerjasama baik polis dan media akan terus dikekalkan pada tahun ini serta akan datang dalam usaha mewujudkan daerah Tawau aman dan sejahtera.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Khas (Balai Polis Sejahtera 2023) kepada Balai Polis Bombalai dan Anugerah Khas (Tokoh Tawau Sejahtera 2023) kepada Ketua Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KBPJKK), ASP Dg Nur Azarinawaty Ag Kachee.

Sumber : Harian Ekspres (Sabah)

17 Januari 2024

#MalaysiaMadani
#KeselamatanTanggungjawabBersama
#MKNSabah

Artikel/Berita Terkini

WANITA MENGAKU TAK SALAH SEDIA KHIDMAT KLINIK GIGI HARAM

Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu menjalankan amalan pergigian dan menyediakan klinik …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

POLIS TEMBAK MATI 2 PENJENAYAH KES SAMUN, EDAR DADAH DI NILAI

Dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun di tiga negeri mati ditembak polis di kawasan parkir …
Maklumat Lanjut