Bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Dalam mengurus sesebuah negara, persediaan menghadapi saat sukar di masa hadapan merupakan antara elemen penting yang sentiasa dititikberatkan bagi melindungi aset dan kepentingan negara iaitu rakyat.
Justeru, dalam usaha menekuni cabaran pengurusan keselamatan negara, Majlis Keselamatan Negara Negeri Kedah berkesempatan mengadakan lawatan ke Gudang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Perai, Pulau Pinang, semalam yang bermatlamat mendapatkan penjelasan mengenai proses penyimpanan dan pengedaran bekalan beras import mahupun tempatan di dalam pasaran negara serta kesiapsiagaan agensi dalam menghadapi sebarang krisis berkait keselamatan makanan.
Lawatan tersebut dimulakan dengan taklimat pengoperasian gudang oleh Ketua Operasi Semenanjung, Encik Mohd Aliff Shamsuniam Mansor dan seterusnya taklimat penguatkuasaan oleh Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Pulau Pinang, Tuan Syed Abdul Kahar Muzzakir Syed Hamid. Perbincangan dilanjutkan dengan sesi soal jawab berkait isu keselamatan makanan khususnya melibatkan kekurangan beras tempatan dalam pasaran. Pertambahan permintaan terhadap bekalan beras tempatan berbanding situasi sebelum ini dijelaskan sebagai punca utama stok beras tempatan sukar didapati di pasaran. Delegasi MKN Kedah juga turut dibawa melawat tempat penyimpanan stok penimbal beras (stokpail) negara.
Perjanjian Konsesi yang ditandatangani pada bulan Disember 2020 yang lalu telah menetapkan 10 obligasi sosial kepada BERNAS yang akan dipantau serta dinilai setiap tahun oleh pihak kerajaan. Salah satu obligasi sosial utama adalah untuk memelihara, menyelenggara dan mengurus stokpail beras negara dengan mematuhi kesemua garis panduan keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan. Sehingga semasa, jumlah simpanan stokpail beras negara akan ditingkatkan kepada 290,000 tan metrik secara berperingkat menjelang tahun 2024.
Artikel: Mior Ahmad Shah
Delegasi MKN Kedah melawat gudang penyimpanan Stokpail Beras Negara
Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan … Maklumat Lanjut
Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta. Setiap organisasi yang mengambil … Maklumat Lanjut
Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah … Maklumat Lanjut