Keuntungan segera dan permintaan tinggi terhadap minyak diesel menyebabkan ia menjadi antara bahan yang paling kerap dan diminati untuk diseludup ke luar negara.
Tawaran harga tinggi yang disebabkan kepentingannya kepada banyak sektor industri menyebabkan penyeludup sentiasa sanggup mengambil risiko di dalam aktiviti jenayah ini.
Terbaharu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup negeri Kedah (KPDN) telah berjaya menahan dan menyita kenderaan yang dipercayai cuba untuk menyeludup diesel bersubsidi ke luar negara. Penahanan kenderaan tersebut dibuat dalam satu operasi Ops Tiris yang dijalankan oleh KPDN Kedah di sekitar Alor Mengkudu, Kedah. Lebih mengecewakan, perbuatan ini dijalankan oleh warganegara Malaysia sendiri yang sanggup menyeleweng demi keuntungan dan kepentingan sendiri.
Kerugian kepada negara dari segi pendapatan cukai, peyalahgunaan sumber alam, kerosakan alam sekitar dan risiko keselamatan dan jenayah berkait penyeludupan menyebabkan aktiviti sentiasa dipantau dan diberikan tumpuan oleh pihak penguatkuasa di dalam negara khususnya melibatkan kawasan berhampiran sempadan negara.
Ancaman penyeludupan merupakan salah satu yang digariskan sebagai lanskap tumpuan di dalam Teras Keselamatan ke 5 iaitu Keutuhan Ekonomi yang perlu dipelihara.
Disediakan oleh: Sharida Shafie
Sumber: 2 DITAHAN DISYAKI CUBA SELEWENG MINYAK DIESEL
Foto: Facebook KPDN Kedah