TAKTIK SELUDUP DADAH KOKAIN SEBAGAI KACANG SOYA TERBONGKAR

SEREMBAN: Kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menyembunyikan dadah jenis kokain seberat 302.2-kilogram bernilai RM60.44 juta dalam bungkusan kacang soya berjaya dilumpuhkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), awal bulan ini.

Menurut Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan, rampasan kokain itu merupakan yang terbesar bagi tahun ini hasil kerjasama keselamatan dari kerajaan Arab Saudi.

Mereka menerima maklumat risikan daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengenai sebuah kontena bersaiz 20 kaki (6.1 meter) yang tiba di Pelabuhan Klang, Selangor pada pukul 9.45 malam, 6 Jun lalu.

Semasa proses pembongkaran, pasukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menjumpai 10 beg guni mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain seberat 302.2-kilogram bernilai RM60.44 juta.

Modus operandi sindiket itu bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan cara mengikrarkan barang yang mengandungi dadah sebagai kacang soya sedangkan didalamnya disorokkan guni-guni mengandungi serbuk putih disyaki dadah berbahaya.

Hasil siasatan mendapati kontena tersebut berasal dari sebuah negara Amerika Selatan sebelum transit ke sebuah negara jiran di Asia Tenggara namun telah ditahan sebaik tiba di Pelabuhan Klang, Selangor.

Kontena itu dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara Asia Selatan. Setakat ini siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan  pada hari yang sama pihak JKDM telah menyita 15 buah kotak disyaki mengandungi dadah jenis ketamin seberat 126.55 kilogram bernilai RM7.593 juta di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hasil pemeriksaan kotak-kotak tersebut menjumpai 107 bungkusan plastik mengandungi bahan ketulan putih dadah jenis ketamin. Bagi mengaburi pihak berkuasa sindiket mengikrarkan barang dalam kotak itu sebagai periuk dan pasuk seramik. Pengimport menggunakan maklumat palsu di dalam dokumen pengimportan menyukarkan tangkapan dibuat. Siasatan awal mendapati dagangan itu diimport dari sebuah negara Eropah kemudian mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir.

Bagi kes seterusnya, bertindak atas maklumat pihak JKDM bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman telah menyita sebuah kontena sejuk beku mengandungi dadah jenis ketamin seberat 25.3-kilogram dianggarkan bernilai RM1.52 juta di Pelabuhan Klang Selangor.

Hasil risikan mendapati, sindiket ini menyorok paket mengandungi serbuk putih disyaki dadah berbahaya di dinding kontena sejuk beku berisi makanan laut. Siasatan awal mendapati kontena itu tiba dari sebuah negara Asia Selatan. Seramai dua lelaki warga tempatan berusia 40-an berjaya ditahan. Keseluruhan dadah yang dirampas adalah seberat 45 kilogram bernilai hampir RM70 juta dan kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Utusan Malaysia

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut