ADAT PERPATIH DENYUT NADI NEGERI SEMBILAN

SEREMBAN: Adat Perpatih masih kekal relevan dalam perkembangan semasa walaupun ada sesetengah amalan dalam tradisi itu sudah tidak diamalkan. Malah sama ada di Negeri Sembilan atau Minangkabau, amalan adat perpatih masih dilihat menjadi sebahagian denyut nadi sebahagian masyarakatnya.

Menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Shamsuddin Ahmad, secara umumnya tidak banyak beza antara adat yang diamalkan di Minangkabau dan Negeri Sembilan.

Berdasarkan kunjungannya ke Minangkabau baru-baru ini mendapati penduduk tradisional di Tanah Datar dan Gunung Talang Sumatera, antara kelompok yang masih mengekalkan budaya serta adat itu dalam kehidupan mereka. Mereka mengerjakan sawah padi sebagai sumber pendapatan harian dan menggunakan perahu jalur untuk menangkap ikan di Danau Singkarak iaitu tasik yang terbesar di Sumatera Barat.

Perkampungan Nagari Nan Tuo Pariangan antara luak yang tertua di Sumatera dan berkait rapat dengan asal usul masyarakat Minangkabau mempunyai kesan sejarah dan hubung kaitnya dengan budaya dan adat perpatih.

Amalan adat perpatih misalnya anak lelaki tidur di surau apabila mencecah usia tertentu masih diamalkan. Selain itu rumah gadang hanya digunakan sebagai tempat untuk mereka menjamu selera. Dalam banyak amalan adat perpatih terdapat satu tradisi yang satu ketika dulu diamalkan tetapi kini sudah tinggal sejarah. Adat itu adalah ujian kepada anak-anak raja sebelum mereka boleh ditabalkan di atas takhta.

Menurut Shamsudin lagi, satu ketika dahulu anak-anak raja dari Pagaruyung perlu tidur di atas batu kasur selama tujuh hari tujuh malam berlapikkan daun jelatang yang gatal. Sepanjang tempoh itu juga mereka juga perlu berhadapan dengan pelbagai gangguan lain. Jika mereka melepasi ujian berkenaan, barulah dianggap layak dan berwibawa untuk ditabalkan menjadi raja di Negeri Sembilan.

Mengikut catatan sejarah, dikatakan Raja Melewar lulus ujian ini dan seterusnya ditabalkan menjadi pemerintah. Batu kasur yang asal terletak di antara Batusangkar dan Pagaruyung iaitu sekitar tiga kilometer dari Kota Batusangkar. Hari ini replika batu kasur berkenaan turut dipamerkan di Muzium Negeri Sembilan.

Untuk rekod, asal usul adat perpatih itu dari segi sejarahnya diasaskan oleh seorang pemimpin Minangkabau bernama Sutan Balun yang bergelar Datuk Perpatih Nan Sebatang sekitar abad ke-14.

Bagaimana di Negeri Sembilan, pemakaian adat itu adalah gabungan amalan dan peraturan yang dilazimi oleh masyarakat Minangkabau dan orang asal di Negeri Sembilan selain sebahagiannya dari Melaka terutamanya Naning.

Adat ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka,perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat dan pelbagai lagi.

Sementara itu, Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti PendidikanSultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, berkata terdapatbanyak aktiviti dan kehidupan harian berasaskan adat perpatih masih terus diamalkanmasyarakat Negeri Sembilan.

Antaranya termasuklah hal-hal meliputi aspek kehidupan harian, budaya, ikatan kekeluargaan, harta pusaka, makanan, sosial dan ekonomi. Malah ia turut menjadi sistem kemasyarakatan yang lengkap dan mempunyai nilai adab serta seharusnya dikekalkan.

Keunikan adat perpatih menjadikan Negeri Sembilan mempunyai tarikan yang tersendiri, bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyatnya, malah menggamit tumpuan pelancong untuk mendalami mengenai warisan budaya mereka. Setiap kali majlis keramaian diadakan sering menjadi perhatian ramai keranakeunikan adat ini.

Bagaimanapun Mohd Rosli menegaskan, hari ini terlalu banyak mitos melingkari adat ini hingga menenggelamkan fakta sebenar. Malah masih ada pihak yang melihat ia bertentangan dengan agama kerana kononnya memberi banyak kelebihan kepada golongan wanita.

Justeru, beliau berharap pemahaman mengenai adat perpatih dapat diperluaskan selain usaha berterusan perlu dibuat bagi membaik pulih rumah adat atas nilai seni dan falsafah budayanya. Malah ia turut berpotensi menjadi tarikan dari aspek pelancongan.

Rumah adat jika tidak dibaik pulih dan dipelihara, nilai sejarah persekitarannya akan hilang dan musnah. Usaha menyelamatkan rumah adat yang indah dan penuh bermakna seharusnya dilakukan pihak berkaitan kerana bangunan lama mempunyai nilai sejarah yang begitu hebat.

Setakat ini kerajaan negeri sudah melakukan tugas yang baik dengan membaik pulih dan memulihara bangunan adat seperti Masjid di Parit Istana, Masjid Lama Seri Menanti dan Masjid Lama Pelangai di Kuala Pilah. Sebelum ini kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta bagi membaik pulih rumah adat menerusi Projek Bangunan dan Rumah Warisan Negeri Sembilan. Ia merangkumi projek baik pulih Masjid Warisan Kampung Terusan dan Masjid Warisan Kampung Kuala Serdang di Kuala Pilah selain tiga buah rumah adat di Rembau, Kuala Pilah dan Jelebu.

Sumber: Berita Harian

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM BICARA EKSEKUTIF PENERANGAN ISU-ISU KESELAMATAN SIRI 1/2024

Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan telah melaksanakan Program Bicara Eksekutif Penerangan Isu-Isu Keselamatan …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN BERHASRAT BERI TABLET KEPADA PELAJAR – ZAHID HAMIDI

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat untuk memberikan tablet kepada setiap pelajar dalam merealisasikan sekolah digital yang lebih berkesan pada masa …
Maklumat Lanjut

KPM UMUM ENAM INISIATIF ANTARANYA LONJAK KAPASITI GURU DIGITAL

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital. Menteri Pendidikan, Fadhlina …
Maklumat Lanjut