Seramai 79 penumpang termasuk kru cemas apabila feri dinaiki mereka terbakar jam 2.40 petang semalam.
Feri tersebut merupakan milik sebuah pusat penginapan dalam perjalanan dari Pulau Redang ke Jeti Taman Tamadun Islam (TTI), tiba berhampiran Pulau Bidong.
Bagaimanapun, menurut sumber, semua penumpang dan kru terbabit selamat apabila masing-masing berjaya dibawa keluar dari feri terbabit sebelum dipindahkan ke sebuah feri lain sebelum selamat tiba di Jeti TTI.
Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian itu.
Kejadian ini telah menyebabkan feri berkenaan musnah seratus peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Pihak APMM telah menggerakkan dua aset APMM ke lokasi kejadian bagi melakukan pemantauan sebaik menerima panggilan dari Pusat Operasi Maritim Malaysia (MRCC) di Kuantan.
Sumber: Berita Harian