Program Pelita Raya Terengganu 2023 (PELITER @KBT) yang akan berlangsung pada 14 hingga 18 April di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Muzium Negeri di Losong dijangka menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung. Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, program pada malam tujuh likur bertemakan Comeynya Peliter itu mengetengahkan konsep โ1 Pejabat Daerah 1 Rumah Tradisiโ. Melalui konsep itu, setiap peserta membabitkan lapan daerah iaitu Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu perlu menghiaskan rumah-rumah tradisi dan check point yang terdapat di KBT.
Program pelita raya antara acara yang dinantikan masyarakat Terengganu kerana mempunyai tarikan tersendiri. Pengunjung dapat melihat kreativiti, cetusan idea dan dekorasi yang ditonjolkan peserta pada setiap rumah tradisi. Dengan penganjuran program ini pastinya dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan negeri dan mampu memelihara adat dan budaya masyarakat Melayu dahulu kala. Hasil rekaan replika dan dekorasi perlu menggunakan barangan terpakai dan disyaratkan peserta menggunakan lebih dari 150 pelita sumbu.
Sumber: Sinar Harian