Lebih 4,000 anak Terengganu di perantauan hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Besar Terengganu di MAEPS Serdang pada 1 April 2023 (Sabtu). Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran ramai anak perantau itu menandakan semangat persaudaraan yang kuat dalam kalangan rakyat Terengganu.
Pertemuan itu juga sangat bermakna kepada Kerajaan negeri dalam memastikan hubungan erat terjalin antara perantau dan Kerajaan negeri. Bersama dengan rakyat Terengganu di perantauan dalam majlis berbuka puasa membuktikan semangat persaudaraan tidak kira dari daerah mana masih kukuh dan berterusan sepanjang masa. Untuk rekod program tahunan itu bermatlamat untuk mendekatkan kepimpinan Kerajaan negeri dengan perantau anak Terengganu.
Dalam majlis berkenaan tujuh pemimpin kerajaan negeri hadir sesi ramah mesra dan soal jawab berkaitan pembangunan negeri. Antaranya adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak. Selain itu turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan, Komuniti Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Kebaikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Pengerusi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nur Khuzaini A.Rahman.
Sesi ramah mesra yang diadakan itu merupakan peluang yang sangat besar kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri untuk mendengar segala pandangan dan cadangan demi kebaikan seluruh rakyat Terengganu termasuk yang berada di perantauan.