YBrs. En Muhamad Mahazi bin Haji Ibrahim, Pegawai Daerah Kubang Pasu hari ini telah mengadakan Lawatan Kerja & Tinjauan Keselamatan di Kompleks ICQS BKH. Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah (JKKD) Kubang Pasu mengadakan program ini bagi melihat dengan lebih dekat pengoperasian di kompleks tersebut, termasuklah mendapatkan gambaran yang lebih jelas berkaitan isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh seluruh warga kerja di Kompleks ICQS BKH.
Beliau ditaklimatkan oleh Majlis Keselamatan Negara Negeri Kedah berkaitan pengurusan sempadan darat Malaysia-Thailand secara am, Pengoperasian Kompleks ICQS BKH secara umum oleh Ketua Imigresen ICQS BKH, serta taklimat berkenaan Keselamatan Perlindungan oleh CGSO ICQS BKH.
Selain itu, Ketua Polis Balai ICQS BKH turut menyampaikan taklimat berkenaan Kawalan Keselamatan di Kompleks ICQS BKH.
Seusai taklimat, beliau meneruskan program dengan sesi walkabout di sekitar Kompleks ICQS BKH, termasuklah Bahagian Passport, Bilik Kawalan Keselamatan, Kaunter Masuk JIM, Kastam, AADK, KKM, serta Balai Polis ICQS BKH.
Kompleks ICQS BKH kini merupakan kompleks yang telah siap dibina pada tahun 2019 susulan penambahbaikan semula kompleks lama yang dilihat tidak lagi dapat menampung jumlah individu dan kenderaan keluar dan masuk daripada Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Bukit Kayu Hitam.
PMA Bukit Kayu Hitam merupakan salah satu daripada PMA Malaysia-Thailand yang penting bukan sahaja kepada laluan persendirian atau pengembara, malahan ianya merupakan penghubung utama laluan dagangan bagi kedua-dua negara. Kompleks ICQS BKH yang beroperasi bermula 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam juga merupakan salah satu PMA yang merekodkan jumlah keluar masuk yang tinggi, selain daripada Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Johor Bahru.
Kompleks ICQS BKH ini yang merupakan salah satu daripada lokasi dan aset terpenting dalam negara yang mengawal pergerakan keluar masuk negara perlu dilindungi bagi mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah dari sebarang ancaman sama ada dari dalam dan luar negara.
Teras 1: Kedaulatan dan Keutuhan Wilayah, seperti yang dinyatakan dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 jelas membawa maksud komitmen Kerajaan dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negara Malaysia dan negeri Kedah secara amnya, dan daerah Kubang Pasu secara khususnya.