Johor sambut baik bank beri moratorium kepada mangsa banjir

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menyambut baik keputusan 26 buah bank yang bersetuju memberikan bantuan kepada peminjam yang terjejas akibat banjir, termasuk pemberian moratorium.

Justeru, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyambut baik cadangan dibuat beliau sebelum ini.

“Saya ada dapat maklumat daripada kerajaan Persekutuan, bahawa hampir 26 bank sudah bersetuju untuk berikan moratorium dan bagi pihak kerajaan negeri saya mengucapkan jutaan terima kasih Perdana Menteri kerana telah menjawab soalan tentang moratorium dalam sidang Dewan (Rakyat), semalam,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Konvoi Pasca Banjir Southern Volunteers (SV) di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya komited untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara, termasuk memberikan moratorium.

Dalam pada itu, Onn Hafiz memberitahu, seramai 231 sukarelawan SV telah digerakkan ke daerah Segamat yang merupakan salah sebuah daerah yang teruk terjejas akibat banjir kali ini.

“Kita harap dengan bantuan yang kita gembleng hari ini dapat meringankan beban mangsa banjir, bukan sahaja pada ketika banjir berlaku, malah juga selepas banjir iaitu kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

“Hari ini, seramai 231 sukarelawan daripada pelbagai agensi, antaranya pejabat daerah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Persatuan Bulan Sabit Merah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat sama,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri akan menggunakan jentera pam untuk mengeluarkan air yang bertakung, khususnya di daerah Batu Pahat yang menyebabkan situasi banjir termenung ketika ini.

“Walaupun hujan telah berhenti di Batu Pahat, tetapi air masih lagi termenung dan kebiasaannya akan mengambil masa untuk surut. Oleh demikian kerajaan negeri telah membuat penyelarasan untuk memastikan air termenung itu dapat keluar dengan cepat, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Artikel/Berita Terkini

PPM RAMPAS MINUMAN KERAS SELUDUP BERNILAI LEBIH RM66,000

SELUDUP: Suspek dan semua minuman keras tidak bercukai berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut. BELURAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas …
Maklumat Lanjut

PENGUSAHA PERTANIAN DI TANAH KERAJAAN PERLU MOHON LPS

Mana-mana pihak yang mengusahakan tanah kerajaan bagi tujuan pertanian di Negeri Sembilan diminta membuat permohonan kepada Pejabat Tanah dan Daerah …
Maklumat Lanjut

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut