Pasar Besar Kedai Payang, salah sebuah lokasi tumpuan utama pelancong apabila datang ke Terengganu kini meriah dengan kehadiran pengunjung sempena cuti umum persekolahan. Menurut Pengerusi Persatuan Pasar Payang dan Bazar Warisan, Ahmad Shukri Abdullah, penambahan pengunjung memberi limpahan ekonomi buat peniaga dengan peningkatan pendapatan sehingga tiga kali ganda berbanding hari biasa.
Dianggarkan lebih 3,000 pengunjung mengunjungi Pasar Payang setiap hari pada cuti kali ini untuk membeli pelbagai barangan dan jumlah ini meningkat tiga kali ganda berbanding 1,000 orang pada hari biasa. Jumlah pengunjung boleh mencecah sehingga 5,000 orang sehari ketika cuti umum biasa seperti sambutan perayaan, ini mungkin kerana tempoh cuti pendek menyebabkan mereka datang bercuti serentak.
Kebiasaannya, antara barangan yang sering mendapat sambutan ramai adalah makanan ringan seperti keropok, kerepek, kekacang, kain batik, sutera, kaftan, barangan cenderahati dan kelengkapan dapur.
SUMBER: Sinar Harian