SEREMBAN, 9 Feb – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun telah merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Zakat MAINS, Prihatin Ekonomi dan Keperluan Asas Asnaf (PEKA) bagi institusi-institusi pendidikan dan kebajikan negeri ini bertempat di Hotel Royale Chulan petang tadi.
Program yang buat julung kalinya diadakan ini bertujuan membantu institusi-institusi tersebut untuk menggerakkan pelbagai program dan aktiviti selain penambahbaikan infrastruktur sekolah-sekolah persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNNS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan (JKMNS) serta bantuan kewangan khas kepada guru-guru KAFA yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Dalam majlis ini, sebanyak 24 buah sekolah telah menerima bantuan termasuk Pusat Jagaan Bengkel Seri Sembilan dan Pusat Jagaan Autisme Ideas. Selain itu, 5 cek cura telah disampaikan sekolah-sekolah kerajaan dan swasta berjumlah RM4,220,000, pusat-pusat jagaan dan latihan Orang Kurang Upaya (OKU) berjumlah RM240,000, guru-guru KAFA JHEAINS berjumlah RM845,500, asnaf-asnaf fakir dan miskin MAINS berjumlah RM2,020,000 dan penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara berjumlah RM1,180,000. Keseluruhan jumlah bantuan adalah RM8 juta.
Hadir merasmikan majlis ialah Setiusaha MAINS, Zainal Said. Turut sama Pengarah JHEAINS, Dato’ Mohd. Zaidi Ramli dan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan JPNNS, Mohamad Zaidi Ishak.
sumber: Facebook MAINS