Hubungan baik antara YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong dan pembesar-pembesarnya dengan DYMM Sultan Selangor dan orang-orang besarnya sudah lama berlangsung.
Rekod-rekod rasmi menunjukkan jalinan itu ada sejak abad ke-19 ketika Sungei Ujong dan Selangor berkembang maju kerana perusahaan bijih timah. Malah kedua kerajaan ini membantu antara satu sama lain sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam beberapa konflik pada waktu itu.
Meski diuji dengan beberapa isu seperti persempadanan negeri sehingga Lukut diserahkan kepada Sungei Ujong manakala Beranang, Semenyih dan Labu (Sepang) kepada Selangor menerusi perjanjian pada 1878 dan 1880, hubungan itu tetap berjalan lancar sehingga hari ini.
Ia dibuktikan dengan keterbukaan YTM Dato’ Klana Petra Undang dan pembesar-pembesar Luak Sungei Ujong membenarkan istana Selangor menyelenggara makam-makam kerabat diraja mereka walau semua tanah dan wilayah Lukut sudah dilepashak kepada pemerintahan Sungei Ujong.
Pada 6 Januari 2023, telah berlangsung penyerahan projek baikpulih makam Raja Busu di Kuala Lukut disaksikan YM Dato’ Andulika Mandulika Zainol Ariffin bin Ibrahim, YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Shaharumzaman bin Dato’ Lela Bangsa Haji Abdul Malek dan Orang Besar Daerah Sepang YDM Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang Tengku Dato’ Dr Jamaluddin Bin Tengku Mahmud Shah Alhaj.
Pertemuan antara pembesar-pembesar Sungei Ujong dan pembesar Selangor itu berlangsung dalam suasana yang sangat mesra dan turut disaksikan barisan kepemimpinan Kerajaan Selangor dan Kerajaan Negeri Sembilan.
Pertemuan itu mengimbau kembali siri pertemuan YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman dengan DYMM Sultan Abdul Samad pada 1878; perjumpaan YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor dengan DYMM Sultan Abdul Samad pada 1897 semasa Durbar Raja-raja Melayu yang pertama; YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor dengan DYMM Sultan Alaeddin Suleiman Shah pada 1920-an serta pertemuan YTM Dato’ Klana Petra Mubarak bin Dohak dengan DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 3 September 1999.
Semoga Allah SWT terus merahmati YTM Dato’ Undang dan Waris-waris Sungei Ujong serta DYMM Sultan Selangor dan kerabat diraja Selangor.
Nota 1: Ketika ini, keseluruhan wilayah Lukut diletakkan di bawah kawalan YM Dato’ Johan Lembaga Waris Klana di-Hulu Sungei Ujong, selepas diperintah oleh Raja Busu, Raja Jumaat dan Raja Bot yang merupakan kerabat Sultan Selangor.
Nota 2: Lukut termasuk dalam mukim Jimah di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Tanah Port Dickson. Keseluruhan daerah Port Dickson dan daerah Seremban adalah di dalam Luak Sungei Ujong yang diperintah YTM Dato’ Klana Petra.
sumber: FB Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong