BALAI UNDANG TRADISIONAL LUAK SUNGEI UJONG BUKTI SENI BINA MELAYU NEGERI SEMBILAN

Jika ada sesiapa ke Kuala Klawang melalui Jalan Seremban-Jelebu mata pasti akan tertoleh ke rumah tradisional Melayu Negeri Sembilan di sebelah kiri jalan di Batu 8 Pantai, Seremban.

Rumah berkenaan bukan rumah Melayu biasa kerana ia cukup istimewa dan menjadi lambang kedaulatan pemerintahan Luak Sungei Ujong sejak hampir 200 tahun lalu.

Dibina pada 1841 Masihi, rumah itu pernah dijadikan Balai Undang yang didiami oleh beberapa YTM Dato’ Klana Petra yang memerintah Sungei Ujong.

Ia menyimpan banyak sejarah khususnya buat rakyat Sungei Ujong dan masyarakat Negeri Sembilan.

Monumen ini berfungsi sebagai tempat tinggal, dewan mesyuarat Waris di-Darat Sungei Ujong dan aktiviti upacara Adat Purbakala di Sungei Ujong.

Menurut sejarah, tapak Balai Undang tradisional berkenaan pernah digunakan sebagai Balai YTM Dato’ Klana Petra Bahi iaitu Undang Sungei Ujong ketiga pada 1800.

Pada 1841, rumah itu dibina oleh Waris Klana di-Hilir sebelum dijadikan Balai YTM Dato’ Klana Petra Muhammad Yusof iaitu Undang Sungai Ujong ketujuh.

Menjelang 1881, ia diperbesarkan selepas fungsi YTM Dato’ Undang bertambah serta dijadikan sebagai kediaman rasmi YTM Dato’ Klana Petra dan kompleks kerajaan Luak Sungei Ujong.

Balai Undang berkenaan turut digunakan Undang Sungei Ujong kelapan, YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin YM Datoโ€™ Menteri Kassim dengan fungsi sebagai Balai Undang dan kediaman rasmi sehingga 1910 apabila Kerajaan Negeri membina kediaman rasmi Undang di Ampangan, Seremban.

Balai Undang bukan sahaja menjadi kediaman pemerintah, malah sebagai pusat politik, ekonomi dan perang. Salah satu ciri unik pada Balai Undang tersebut adalah tiga pucuk meriam tembaga yang digunakan dalam upacara adat istiadat masyarakat tempatan.

Meriam itu digunakan bagi pengumuman hari-hari penting kepada masyarakat seperti ketibaan Ramadan serta sambutan Hari Raya.

Ketika ini, Balai Undang tradisional itu berfungsi sebagai Telapak Waris Klana di-Hilir Luak Sungei Ujong diketuai YM Dato’ Maharaja Lela Lembaga Waris Klana di-Hilir Luak Sungei Ujong.

Balai Undang berkenaan dibina bercirikan rumah bumbung panjang Melayu Negeri Sembilan dan lokasinya hanya 600-800 meter dari Sungai Batang Penar (anak Sungai Linggi) di bahagian belakangnya.

Monumen itu dibina dengan bumbung panjang yang sedikit melentik pada hujungnya dengan lantai bertingkat dan sangat berbeza dengan ciri binaan Minangkabau.

Panjang serambi Balai Undang tradisional ini ialah 22 meter, manakala panjang dari bahagian hadapan hingga belakang Balai Undang adalah 25 meter dan tingginya kira-kira tujuh meter. Ia dibina tanpa paku sebaliknya hanya menggunakan sistem pasak dan tanggam.

Bumbungnya ada melentik sedikit dan tidak terlalu ketara. Ia sama sekali berbeza dan tidak sama dengan seni bina Minangkabau. Ia juga terdapat banyak ukiran awan larat dan ukiran motif tumbuh-tumbuhan.

Ukiran awan larat ini banyak digunakan dalam seni ukir Melayu tradisional. Panel dinding kayu diukir dan berbentuk cembung menandakan itu adalah Balai Undang.

Paling menarik dan unik, Balai Undang itu direka dan dibina oleh dua tukang kayu Melayu hebat dari Kelantan dan Negeri Sembilan dengan menggunakan lukisan lakaran di atas tanah sahaja.

Balai Undang tersebut dibina dengan kayu merbau dan cengal yang diambil dari Gunung Berembun di Pantai sebelum ditarik keluar ke Kampung Pantai menggunakan kerbau dan gajah.

Kayu-kayu tersebut kemudian dibelah menggunakan kapak sebelum dijemur sehingga masak bagi membolehkannya tahan daripada panas dan hujan.

Pada zaman dahulu, hanya Balai Undang dan istana sahaja dibenarkan mempunyai ukiran awan larat dan dinding cembung sebagai perbezaan dengan rumah rakyat biasa.

Tipologi ruang pada Balai Undang tersebut dibahagikan kepada serambi hujung, serambi tengah, serambi pangkal, ruang rumah ibu, bilik tidur utama, bilik tidur tetamu, ruang rumah tengah, bilik dapur, dapur basah dan bilik air.

Serambi hujung bagi YTM Dato’ Undang Luak dan YM Lembaga Waris serta YM Lembaga Tiang Balai Undang manakala serambi pangkal untuk YM Buapak dan orang kenamaan jemputan.

Di serambi hujung juga diletakkan peterana lima tingkat YTM Dato’ Klana Petra. Ketika ini peterana tiga tingkat YM Dato’ Maharaja Lela diletakkan bersama alat kebesarannya.

Serambi tengah biasanya digunakan oleh Dato’-dato’ Lembaga Tiga di Pantai, Lembaga Lingkungan Lenggeng dan Setul (Mantin) serta para ulama.

Binaan serambinya juga bertingkat dan mempunyai laras tertentu melambangkan hierarki pemegang Adat Purbakala Melayu Sungei Ujong.

Begitu juga ruang rumah ibu dan ruang rumah tengah yang dibina bertingkat dan mempunyai laras lantai tertentu bagi melambangkan hierarki pemilik rumah.

Ruang rumah ibu adalah untuk YAM Tok Puan dan YM Ibusoko Klana. Ruang rumah tengah untuk kegunaan peribadi keluarga Undang dan lebih kepada santai.

Dibina mengikut Adat Purbakala, tiang seri di ruang rumah ibu Balai Undang tradisional itu dikumai atau dirakuk lapan pecahan bagi menandakan kekuasaan pemilik rumah berkenaan sebagai pemerintah Sungei Ujong dan Negeri Sembilan.

Balai Undang berkenaan mempunyai ruang peran atau loteng untuk menyimpan barang peribadi selain berfungsi sebagai menara tinjau untuk YTM Dato’ Klana Petra melihat kelibat orang keluar masuk di Balai Undangnya.

Antara peristiwa sejarah yang berlaku di situ termasuk perbincangan YTM Dato’ Undang dengan pembesar Sungei Ujong untuk menerima sistem Residen British dan persetujuan masuk ke Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Begitu juga persetujuan YTM Dato’ Undang Sungei Ujong membentuk pemerintahan Negeri Sembilan moden serta persetujuan melantik dan menabal Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Nota 1: Balai Undang ini dibina oleh tukang Kelantan dan Negeri Sembilan berketurunan Melayu dan bukannya tukang rumah berketurunan Minangkabau.

Nota 2: Ciri-cirinya penuh dengan seni bina Melayu dan ukiran bahagian dalam terdapat pengaruh ukiran Melayu Kelantan.

Nota 3: Pemegang amanah yang menjaga Balai Undang tradisional ini iaitu YM Dato’ Lela Bangsa mengesahkan susur galur kerabat Dato’ Undang Sungei Ujong adalah pembesar Melayu asli dari keturunan Bendahara Kesultanan Melaka dan kemudian Kesultanan Johor-Pahang-Riau-Lingga. Beliau juga mengesahkan salasilah kerabat YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong tiada hubungan dengan mana-mana pembesar Minangkabau.

Sumber penceritaan daripada:

1) YM Dato’ Maharaja Lela Abdul Mukti Haji Abdul Aziz, 2022

2) YM Dato’ Lela Bangsa Ahmad Razin Haji Abdul Aziz, 2022

3) Balai Undang di Negeri Sembilan, Dr Haji Faridzwan Haji Abdul Ghafar, Sungei Ujong Press, 2019

4) Seni balai Undang Pantai tak lapuk di telan zaman, Mohd Shazwan Yusop, Kosmo, 14 November 2021

5) Evolusi seni bina Balai Adat di Negeri Sembilan, Raja Nafida Raja Shahminan, Tesis Sarjana Seni Bina Universiti Malaya, 1999

sumber:ย Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

Artikel/Berita Terkini

20 INISIATIF BANTUAN RAKYAT DAN KOS SARA HIDUP

#Belanjawan2025 Selaras dengan tema โ€˜Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat,โ€™ Belanjawan ini memberi fokus kepada usaha meringankan kos sara hidup …
Maklumat Lanjut