PROGRAM 3P: BANDUAN DAPAT PENDAPATAN SENDIRI, ELAK KESESAKAN DI PENJARA

SEREMBAN: Jabatan Penjara buat julung kalinya melaksanakan Program Penempatan, Pekerjaan dan Pendapatan (3P) yang dapat mengelakkan kesesakan dalam penjara serta mempercepatkan proses penghantaran pulang banduan warga asing ke negara asal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat ini, banduan atau penghuni warga asing yang berada di penjara kesemuanya berjumlah hampir 12,000 orang.

“Melalui program ini, penghuni warga asing yang layak akan ditempatkan di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) untuk bekerja.

“Hasil yang diterima daripada pekerjaan tersebut akan digunakan bagi menampung keperluan harian mereka dan seterusnya untuk penghantaran pulang ke negara asal,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pada Majlis Pelancaran Program 3P di PRP Mantin, Nilai di sini semalam.

Turut hadir Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Menurut Hamzah, sebagai perintis, program itu melibatkan 16 banduan warganegara Indonesia yang bermula pada Julai lalu di mana 10 orang daripadanya akan pulang ke negara mereka tanpa perlu ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen seperti kebiasaan.

“Manakala enam yang lain akan beransur-ansur pulang menjelang November 2022. Segala persiapan dan proses dokumentasi untuk mereka pulang diuruskan dengan sebaik-baiknya oleh Jabatan Imigresen Malaysia di PRP Mantin.

“Selain itu, Kedutaan Indonesia di Malaysia turut membantu dalam proses penyediaan dokumen bagi penghantaran pulang mereka,” katanya.

Jelas beliau, sinergi atau kerjasama itu memberi impak yang positif di mana program itu akan memberikan kesan dari segi pengurangan kesesakan di dalam penjara dan juga Depoh Tahanan Imigresen.

“Bagi penghuni warga asing tersebut, mereka akan beroleh kemahiran dan seterusnya pendapatan yang boleh membantu mereka untuk pulang ke negara asal dengan lebih cepat tanpa melalui penempatan di Depoh Tahanan Imigresen.

“Sudah tentu dengan penghantaran warga asing ini dengan menggunakan pendapatan mereka sendiri akan memudahkan pihak kedutaan untuk urusan penghantaran pulang warga negara mereka kembali ke negara asal,” katanya lagi.

Beliau berkata, penglibatan pihak syarikat swasta yang memberikan peluang pekerjaan kepada banduan dan penghuni PRP turut menyumbang kepada pembangunan  ekonomi negara.

“Buat permulaan, kerjasama melibatkan banduan warga Indonesia melalui sokongan daripada pihak kedutaan. Pada masa depan, kami berhasrat meneruskan kerjasama demgan banduan dari negara Asia Tenggara lain seperti Kemboja,” katanya. –UTUSAN

sumber: Utusan Malaysia

Artikel/Berita Terkini

HEBAT: RAKYAT MELAKA PUAS DAPAT BERTEMU PEMIMPIN LUAH MASALAH

Seri Negeri – Rakyat Melaka meluahkan rasa syukur dan gembira apabila diberikan peluang bertemu pemimpin secara langsung pada Hari Ahli …

OPERASI LORONG KOSONG (Ops LOKOS) MBMB

Melaka Tengah – Operasi Lorong Kosong (Ops LOKOS) MBMB Bil. 21 Tahun 2025 anjuran Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandaraya MBMB …

SARAPAN BUKAN SEKADAR MAKAN – IA PELINDUNG KESIHATAN ANDA

Sarapan Bukan Sekadar Makan – Ia Pelindung Kesihatan Anda! Ramai yang abaikan sarapan sebab sibuk. Tapi sarapan penting untuk: 🔋 …