SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan akan memantau kedudukan bekalan telur ayam di 151 peruncit terpilih daerah (DDR) di negeri ini.
Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, langkah pemeriksaan dan pemantauan itu bagi memastikan bekalan telur ayam di negeri ini stabil dan mencukupi untuk pengguna.
“Berdasarkan rekod kedudukan telur ayam di 151 DDR yang dilaporkan, sebanyak 308,470 biji telur ayam pelbagai gred berada di pasaran untuk pengguna.
“Semakan juga telah dijalankan di dua ladang telur ayam di negeri ini mendapati pengeluaran di peringkat ladang tidak berlaku sebarang pengurangan bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sehingga kini, pihaknya hanya menerima satu aduan melalui sistem e-aduan KPDNHEP berhubung kekurangan bekalan telur ayam di sebuah premis di sekitar Nilai.
“Bagaimanapun, setelah pemeriksaan dijalankan di premis diadukan dan sekitar kawasan tersebut, didapati premis berkenaan mengalami kekurangan bekalan disebabkan permintaan yang tinggi dan premis lain di sekitarnya masih terdapat bekalan telur ayam untuk keperluan penduduk sekitar,” kata beliau.
Jelas Muhammad Zahir, hasil pemeriksaan yang dijalankan sejak awal bulan ini mendapati terdapat kekurangan bekalan telur ayam pada peringkat peruncit di beberapa kawasan seperti di Nilai.
“Hal ini berpunca daripada permintaan yang tinggi daripada pengguna di pasaran pada ketika ini terutama menjelang musim perayaan yang bakal disambut tidak lama lagi.
“Bagaimanapun, pengurangan bekalan di sesetengah kawasan terbabit tidak memberikan kesan kenaikan harga telur ayam dan masih mematuhi harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu bagi peringkat runcit,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna agar membuat pembelian telur ayam secara biasa dan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja. – UTUSAN