1 JUTA SAMPUL SURAT OKU

Seremban: Biarpun bergelar insan istimewa orang kurang upaya (OKU) namun siapa menyangka kumpulan pekerja ini mampu menghasilkan sebanyak 1 juta sampul surat sebulan.

Bergantung kepada kuantiti sampul dihasilkan, pekerja OKU di Bengkel Seri Sembilan di sini, mampu menjana pendapatan antara RM900 hingga RM1,200 sebulan.

Aqil Nazhan Rahman, 29, yang mengalami masalah pembelajaran berkata, dia mempunyai pengalaman bekerja di tempat lain namun terpaksa berhenti susulan sukar mengadaptasi suasana bekerja bersama pekerja normal.

“Pegawai dari sebuah pusat latihan mencadangkan saya supaya memohon kerja di sini. Saya menghadiri sesi temuduga dan diterima bekerja sebagai pembuat sampul surat bersama OKU lain.

 “Kami dilayan sama rata namun pendekatannya lebih mesra OKU. Saya tidak kisah apa orang kata, janji saya bekerja dan selesa dengan pekerjaan ini,” katanya ditemui di bengkel berkenaan, baru-baru ini.

Seorang lagi petugas, Hafimazatul Ashikin Kamaruddin, 31, berasal dari Rompin, Pahang berkata, dia mampu menghasilkan 250 sampul surat dalam masa sehari walaupun mempunyai kekurangan pada bahagian tangan.

“Sebelum diterima kerja di sini, saya perlu menjalani temuduga dan pemeriksaan kesihatan serta fizikal terlebih dahulu bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti dan tidak rosak bagi mengelakkan pembaziran kertas.

“Saya bersyukur kerana dapat bekerja di sini dan mempunyai pendapatan sendiri tanpa berharap kepada ihsan atau bantuan orang lain. Di sini juga saya membina keyakinan diri dan belajar cara untuk bergaul serta berkomunikasi,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd Ibrahim berkata, Bengkel Seri Sembilan mula menghasilkan sampul surat dengan menggajikan pekerja OKU sejak 1984 lagi.

“Pembuatan sampul surat adalah produk utama kami yang mana pekerja diberi latihan sebelum diserapkan bekerja. Selain itu, kami juga menggajikan OKU untuk kerja pembersihan di kawasan bengkel, pertanian dan penternakan.

“Bengkel Seri Sembilan ini diberi kontrak daripada Kementerian Kewangan untuk menyediakan pesanan sampul surat pelbagai saiz kepada lebih 400 jabatan kerajaan di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Syarat utama kontrak adalah pekerja mestilah terdiri daripada golongan OKU, sebagai inisiatif untuk membantu golongan berkenaan menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Jelas Harunarrsheed, walaupun menggunakan tenaga kerja OKU, aspek kualiti sentiasa diutamakan dan hasil jualan bagi penghasilan sampul surat mampu mencecah RM150,000 sebulan.

“Dalam masa sebulan, kami mampu menghasilkan sejuta sampul surat dan hasilnya ada pekerja menjana pendapatan sehingga mencecah RM1,200. Gaji mereka bergantung kepada jumlah sampul yang dihasilkan,” katanya.

 Sumber: Harian Metro

Artikel/Berita Terkini

28,531 CALON UPKK 2023 RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG 8A

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Seramai 28,531 daripada 230,587 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang …
Maklumat Lanjut

TIPS PENGGUNAAN BARANGAN ELEKTRIK SEMASA DI RUMAH

Barangan elektrik tidak dapat dinafikan sangat banyak membantu memudahkan tugasan domestik seharian. Tugasan memasak, mengemas rumah dan mencuci pakaian tidak …
Maklumat Lanjut

LAPAN ANGGOTA FRU DIDAKWA SIMPAN BAHAGIAN BADAN PELANDUK

Lapan anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimpan bahagian …
Maklumat Lanjut