Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah perkenan merasmikan Bangunan Perpustakaan Digital Kedah (KDL) pada 15 September yang lepas.
Dalam titah perasmian Baginda bertitah, “Amalan membaca adalah satu budaya atau amalan harian di mana ia dapat membentuk insan yang berilmu pengetahuan dan dapat mencapai kejayaan yang baik.”
Titah Baginda lagi “Melestarikan Budaya Membaca adalah faktor utama bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya dengan menjadikan membaca sebagai amalan atau budaya.” Baginda juga menyeru agar orang ramai terutamanya rakyat di negeri ini memanfaatkan sebaik-baiknya kemudahan yang disediakan. Baginda seterusnya perkenan bercemar duli bagi meletakkan tangan di pad khas perasmian sebagai gimik majlis perasmian tersebut.
YAB Menteri Besar dalam ucapannya pada majlis yang sama berkata, penubuhan KDL merupakan satu inisiatif yang menerapkan penambahbaikan aspek digitalisasi dalam penyediaan kemudahan kepada orang ramai dan ia juga signifikan bagi mengukuhkan budaya membaca yang disesuaikan dengan ekosistem digitalisasi kini.

Selain itu, KDL ini juga berpotensi menjadi pusat pembangunan maklumat digital dan menyokong penguasaan teknologi digital dalam kalangan masyarakat di Kedah.
MKN Kedah berharap agar kemudahan dan fasiliti yang dibangunkan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat di negeri ini.
Foto: Kedah Royal Family & BERNAMA