Literasi Pembentukan Minda Keselamatan diteruskan lagi dengan penganjuran Program Pemantapan Sinergi Keselamatan Bersama dengan Penghulu Mukim di Negeri Kedah yang diadakan di Jerai Hill Resort, Gunung Jerai pada Khamis yang lepas.
Prof. Madya Dr. Bakri Mat, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia telah dijemput bagi menyampaikan perkongsian mengenai konsep keselamatan berasaskan komuniti. Antara lain perkara yang dikongsikan adalah cabaran dan isu keselamatan tradisional dan non-tradisional yang sedang dan berkemungkinan berlaku di dalam komuniti setempat seperti jenayah rentas sempadan, dadah, gejala sosial dan penularan maklumat palsu.
Prof. Madya Dr. Bakri Mat dalam perkongsiannya turut menggesa para peserta selaku ketua di dalam komuniti masing-masing untuk menggalas tanggungjawab mendidik masyarakat setempat supaya peka terhadap keselamatan diri, keluarga dan komuniti secara keseluruhannya.
Seterusnya, taklimat mengenai Dasar Keselamatan Negara dan konsep keselamatan menyeluruh atau comprehensive security telah disampaikan oleh wakil Majlis Keselamatan Negara Negeri Kedah, En. Mohd Nurul Hasri bin Abdullah Hashim yang memfokuskan kepada kepentingan tadbir urus yang baik di peringkat akar umbi khususnya melibatkan kepimpinan penghulu selaku ketua masyarakat setempat. Menekankan taklimatnya mengenai isu, cabaran dan ancaman sebagaimana digariskan di dalam lanskap keselamatan negara, para peserta telah didedahkan dengan sudut pandang yang lebih luas dalam meneliti dan memahami isu keselamatan yang berlaku di dalam negara dan di peringkat komuniti secara khususnya.
Kesimpulannya, komuniti di peringkat akar umbi seharusnya menjadi teras kepada pembentukan negara yang selamat, aman, sejahtera dan harmoni.