Pada 2 Ogos 1973, Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman telah meninggal dunia di rumahnya di alamat No. 22, Jalan Maxwell, Kuala Lumpur pada jam 10:00 malam ketika berusia 57 tahun. Jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di Masjid Negara pada keesokan harinya selepas solat jumaat dan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Beliau dilahirkan pada 4 November 1915 di Johor Bahru dan anak kepada pasangan Dato’ Abdul Rahman bin Mohd Yassin dan Zaharah binti Abu Bakar. Tun Dr. Ismail dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada September 1970 sehingga 2 Ogos 1973. Beliau juga pernah dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Menteri Berkuasa Penuh Tanpa Jawatan, Menteri Luar Negeri, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Kehakiman dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
SUMBER: ARKIB NEGARA MALAYSIA