MARITIM MALAYSIA TAHAN BOT NELAYAN VIETNAM KAUT TIGA TAN HASIL LAUT NEGARA

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan berjaya menahan sebuah bot nelayan asing semasa pelaksanaan penugasan Op Kuda Laut di perairan Kudat di sini.

 

“Semasa ditahan kira-kira jam 12 tengahari, bot nelayan asing terbabit bertindak agresif dengan melanggar dan merempuh KM Arau  sehingga berlakunya kerosakan pada bot nelayan asing itu.

“Rempuhan juga menyebabkan kerosakan kecil pada KM Arau, bagaimanapun usaha penahanan berjaya dilakukan hasil tindakan cemerlang pasukan kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan itu dikendalikan seramai 41 kru warga Vietnam termasuk tekong berumur lingkungan 18 hingga 58 tahun.

“Pemeriksaan dokumentasi juga mendapati bot nelayan asing terbabit beroperasi di perairan negara secara haram selepas gagal mengemukakan sebarang dokumentasi berkaitan.

“Pasukan serbuan turut menemukan tiga tan hasil laut dalam pemeriksaan lanjut terhadap bot nelayan berkenaan,” katanya.

Katanya siasatan juga mendedahkan bot ini beroperasi dengan melepaskan sampan-sampan kecil bagi menangkap sotong sebelum hasilnya dikumpulkan pada kapal induk tersebut.

“Bot nelayan asing ini juga dipercayai sebagai bot induk berdasarkan bilangan kru, saiz bot serta muatan yang dibawa bagaimanapun  siasatan lanjut akan dilakukan bagi tujuan pengesahan.

“Kesemua kru, bot serta hasil laut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah  RM1.5 juta.

Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah.

“Kawalan di perairan negara akan terus diperketatkan oleh Maritim Malaysia dalam usaha membanteras segala kegiatan jenayah rentas sempadan di lautan bagi memastikan kesejahteraan maritim di negara ini terus terpelihara.

“Sebarang aduan kecemasan dan maklumat jenayah di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088- 611858 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

SUMBER: APMM, UTUSANBORNEO

Artikel/Berita Terkini

ARTIFAK DARI BELANDA BUKTI KEHEBATAN MELAKA

Lendu – Usaha Kerajaan Negeri untuk membawa pulang artifak bersejarah Negeri Melaka sekian lama tersimpan di Belanda mendapat perhatian positif …
Maklumat Lanjut

TIGA PELABUHAN BAHARU DILULUSKAN DI MELAKA

Kuala Linggi – Kerajaan Negeri telah mendapat kelulusan untuk membina tiga pelabuhan laut dalam baharu membabitkan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi …
Maklumat Lanjut

RUKUN HAJI

Rukun Haji Ada Enam (6) Niat Ihram Haji ⁠Wuquf di Arafah ⁠Tawaf di Kaabah ⁠Sa’ie di antara Bukit Safa dan …
Maklumat Lanjut