KERAJAAN PAHANG BERHASRAT JADIKAN DAERAH LIPIS SEBAGAI UNESCO GLOBAL GEOPARK

KUANTAN, 8 Jun 2022 – Kerajaan Pahang bakal mengambil langkah-langkah proaktif dalam usaha menjadikan daerah Lipis sebagai UNESCO Global Geopark.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Anggota Perbadanan Taman Negeri Pahang, semalam.

“Geopark merupakan sebuah wilayah yang mengandungi tapak warisan geologi dan landskap berkepentingan antarabangsa dan diurus secara holistik berasaskan konsep pemeliharaan, pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan lestari.

“Antara keunikan Daerah Lipis selain merupakan bandar warisan Negeri Pahang adalah terdapatnya batuan berusia Devon–Perm Tengah iaitu sekitar 420 hingga 270 juta tahun lalu di Pos Betau yang menjadi bukti pertembungan dua plat tektonik yang membentuk Semenanjung Malaysia.

“Aspirasi Lipis Geopark akan menjadi platform untuk memperkasa kepelbagaian warisan Daerah Lipis. Pengiktirafan sebagai tapak Geopark juga akan mempertingkatkan sosio-ekonomi masyarakat setempat melalui kewujudan peluang pekerjaan dan kerancakan aktiviti pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata sebagai langkah awal, Kerajaan Negeri telah melakukan perbincangan dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Kementerian Tenaga dan Sumb1er Asli (KeTSA) melalui Perbadanan Taman Negeri Pahang untuk menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Lipis Geopark yang merangkumi keperluan sumber manusia dan kewangan bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah Geopark Kebangsaan.

Pengiktirafan tersebut katanya merupakan antara syarat untuk melayakkan Lipis Geopark dicalonkan sebagai UNESCO Global Geopark.

“Saya berharap agar usaha kita untuk mewujudkan Lipis Geopark menjadi kenyataan supaya daerah ini dapat kita uruskan secara holostik berteraskan kelestarian alam semula jadi selain menjadi satu lagi tarikan pelancongan menarik khususnya nya bagi mereka yang meminati bidang geologi, ” katanya.

Sehingga kini, terdapat 177 UNESCO Global Geopark di seluruh dunia dan Langkawi Geopark merupakan satu-satunya UNESCO Global Geopark di Malaysia.

Selain itu, terdapat enam tapak yang telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan iaitu, Langkawi Geopark, Lembah Kinta Geopark, Jerai Geopark, Mersing Geopark, Kinabalu Geopark, Lenggong Geopark, dan Labuan Geopark.

Sumber: Laman Web PAHANGMEDIA

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut