KUALA LUMPUR, 19 MEI 2022 – Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Azizah (HTA) telah menerima kunjungan delegasi Yayasan Canselor UNITEN (YCU) diketuai Pengarahnya, Encik Mohamad Ishak Bin Mohamad Ibrahim. Tujuan kunjungan adalah untuk mendapat pengetahuan dan kefahaman mengenai penyampaian perkhidmatan di hospital-hospital berkenaan, dan pada masa sama melihat dengan lebih dekat akan usaha sokongan tidak berbelah bahagi diberikan pihak pengurusan hospital kepada warga kerja kurang berkemampuan dan terputus bekalan harian melalui aktiviti kebajikan.
Dalam kunjungan itu, Pengarah YCU berpeluang menyampaikan mock cheque bernilai RM2,000 bagi sumbangan keperluan asas Gerobok Rezeki HKL seperti beras, gula, minyak masak, makanan dalam tin dan sebagainya. Sementara itu, beliau turut menyumbangkan dua unit lap top kepada pengurusan Hospital Tunku Azizah untuk keperluan perkhidmatan ICT HTA. Pihak HKL dan HTA merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas sumbangan dihulurkan dan ianya memberi manfaat kepada kedua-dua hospital berkenaan.
Turut hadir bersama Dr. Hjh. Shahrum Ismail, Timbalan Pengarah (Perubatan) HKL, Dr. Shamsul Anuar Bin Kamarudin, Pengarah HTA, Dr. Fairoz Azlim Muslim, Timbalan Pengarah (Pembedahan) dan Encik Saipol Anwar Mohd. Raji, Ketua Unit Komunikasi Korporat.
SUMBER: FB HOSPITAL KUALA LUMPUR https://www.facebook.com/hospitalkualalumpur