KUALA TERENGGANU, 18 Mei 2022 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memilih negeri Terengganu bagi Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 dengan kerjasama Kerajaan negeri setelah mengambil kira populasi penduduk yang dominan meraikan sambutannya selama ini.
Menurut MOTAC, program yang diadakan selama tiga hari bermula pada 19 hingga 21 Mei bertempat di Dataran Drawbridge itu juga bermatlamat untuk mendekatkan masyarakat umum khususnya Keluarga Malaysia di Terengganu dengan kegiatan seni, budaya dan pelancongan.
Selain itu, ia bertujuan untuk membuka ruang kembali untuk menjana ekonomi negara bagi penggiat industri di negeri ini. Ini merupakan penganjuran kali pertama di negeri Pantai Timur, khususnya di Terengganu. Pemilihannya adalah kerana dikelilingi lokasi-lokasi utama pelancong serta kaya dengan aktiviti kesenian, budaya dan adat tradisional masyarakat tempatan. MOTAC juga dalam usaha untuk mempromosikan Negeri Terengganu dalam aspek kebudayaan, keseniaan dan pelancongan.
Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung antaranya Rewang Raya, Kenduri Rakyat, Pertandingan Lumba Perahu, Himpunan Keris, Gateh Busana, Kambing Cantik, Pertandingan Ayam Ratu, Zoo Kampung, Wau Gegok Damak, Tok Dekor Jangok, Tewah Ngail, Gasing Terbang, Bot Berhias dan Persembahan Kesenian. Turut akan berlangsung ialah Bengkel dan Kelas Masakan Warisan, Demonstrasi Makanan Warisan, ceramah agama ‘Syawal Disambut Dengan Penuh Kesyukuran dan Kegembiraan’ serta pertandingan memancing dengan tema memancing sambil mengenakan pemakaian kain pelikat dan semutar beramai-ramai.
Acara kemuncak bagi program ini ialah Majlis Perasmian yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 20 Mei 2022. Oleh itu seluruh Keluarga Malaysia yang lengkap vaksinasi dijemput hadir ke program ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025
NILAI TERAS KESEPADUAN NASIONAL