DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025
NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 9: PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA (Diplomasi Ekonomi)
BERNAMA pada 8 Mei 2022 melaporkan fokus Malaysia dalam misi perdagangan dan pelaburan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Amerika Syarikat (AS) ialah meluaskan peluang hubungan dua hala dengan agenda utama mengenai inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta daya tahan rantaian bekalan. Misi tersebut yang dijadualkan berlangsung dari 9-8 Mei bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dan rakan dagang utama.
Di Washington, Mohamed Azmin dijadual bertemu dengan Gina M Raimondo, Setiausaha Perdagangan AS dan Duta Katherine Tai, Wakil Perdagangan AS. Semasa mesyuarat itu beliau akan mengetengahkan keupayaan dan kapasiti Malaysia dalam sektor strategik termasuk memajukan ESG dalam perdagangan dan pelaburan dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF). Mohamed Azmin dan Raimondo juga akan memeterai memorandum kerjasama antara Malaysia dan AS bagi meningkatkan lagi kerjasama dua hala dalam usaha daya tahan rantaian bekalan semikonduktor. Memorandum itu jelas sekali menunjukkan peranan penting Malaysia dalam memastikan kestabilan rantaian global dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitannya.
Sumber: BERNAMA