DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025
NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 8: KESELAMATAN RAKYAT (Penguatkuasaan Undang-undang)
Unit Operasi JPJ Negeri Pulau Pinang bersama Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ akan melaksanakan pemeriksaan bas ekspres di Terminal Bas Penang Sentral dan Terminal Bas Sungai Nibong, Pulau Pinang sempena menjelang sambutan perayaan Aidilfitri 2022 pada 23 April 2022.
Tujuan pemeriksaan ini dilakukan bagi memastikan semua kenderaan perkhidmatan awam terutama bas ekspres mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan seperti memastikan bas dalam keadaan baik dan selamat digunakan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) berkuatkuasa, pemandu mempunyai lesen memandu dan lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) yang sah, pemeriksaan buku log pemandu serta memastikan pengusaha bas menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan bas melebihi 300km atau perjalanan 4 jam berterusan serta Pematuhan SOP Covid-19 semasa beroperasi perkhidmatan pengangkutan awam di patuhi sepenuhnya oleh pemandu, penumpang dan pengusaha Bas Ekspres.
Untuk makluman Ops HRA 2022 akan mula dilaksanakan pada 29 April hingga 8 Mei 2022. Literasi Ops HRA 2022 dan Advokasi keselamatan jalan raya mula dilaksanakan pada 19 April hingga 28 April 2022, serta pemeriksaan bas di Depoh Utama Bas akan bermula pada 25 April hingga 28 April 2022, Pemerikssan Bas di Terminal Utama akan dilaksanakan bermula 29 April hingga 8 Mei 2022 dengan penglibatan pegawai dan anggota bahagian kejuruteraan automatif, unit JISA dan anggota Pemeriksa Kereta Motor (PKM) bagi memastikan penggunaan tayar mengikut piawaian yang ditetapkan, memastikan kondisi sistem brek berfungsi dengan baik dan selamat digunakan, memastikan kenderaan seperti lampu, cermin, pembalik cahaya (reflector) dan lain-lain berfungsi dan berkeadaan baik, semakan kefungsian sistem GPS bas dan syarikat pengendali dan semakan saman tertunggak dan pematuhan terhadap Audit Keselamatan (ICOP).
Sebelum itu pada 21 April 2022, Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri telah mengadakan taklimat Ops HRA 2022 bersama pengusaha bas dan juga agensi penguatkuasa bagi memberi panduan dan nasihat kepada pengusaha dan pemandu bas berkaitan langkah keselamatan dan pematuhan undang-undang bagi memastikan bas dalam keadaan baik dan selamat digunakan semasa musim perayaan ini.
Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Pulau Pinang komited bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan kepada pengguna jalan raya agar “Pandu Cermat Sampai Selamat ke Destinasi” dengan mengurangkan statistik kemalangan jalan raya serta memastikan kenderaan perkhidmatan awam bas ekspres selamat digunakan di jalan raya.