LABUAN, 25 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MaritimMalaysia) Zon Maritim Labuan telah menjumpai 2 bungkusan dadah disyaki jenis syabu yang telah dicampak ke laut di perairan Sipitang, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata, pada jam lebih kurang 2:30 pagi, bot peronda yang sedang dalam penugasan rondaan Ops Benteng dan Op Khas Pagar Laut 1/2022 di perairanBrunei Bay dan Sipitang, Sabah telah mengesan sebuah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Sebaik dihampiri, juragan bot berkenaan telah membuang sebuah bungkusan ke laut dan terus memecut melarikan diri, Bot peronda melakukan pengejaran namun terbatas berikutanfaktor perairan cetek.
“Bot peronda kemudian berpatah balik untuk mengesan bungkusan yang dibuang dan menemukan sebuah bungkusan plastik berwarna putih yang mengandungi 2 paket dadah dipercayai jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Tambahnya, dadah dengan anggaran berat 49 gram itu dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan untuk disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undangyangtelah termaktub didalam perlembagaan bagi mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara,”jelasnya lagi.


SUMBER: APMM LABUAN / JABATAN PENERANGAN LABUAN