KOTA BHARU – Unit Operasi JPJ Negeri Kelantan, telah melaksanakan Operasi Lebih Muatan terhadap kenderaan barangan yang membawa muatan melebihi had yang dibenarkan seperti yang diluluskan dalam syarat lesen pengendali dan pelbagai kesalahan teknikal dengan tumpuan operasi di Daerah Kota Bharu.
Penguatkuasaan ini dilaksanakan bagi mengambil tindakan terhadap pemandu dan pengusaha kenderaan pengangkutan barangan yang segelintirnya didapati masih berdegil membawa lebih muatan serta mengabaikan aspek keselamatan dalam menjalankan perkhidmatan pengangkutan barangan.
Sepanjang operasi yang telah dilaksanakan pada hari ini sebanyak 38 buah kenderaan diperiksa dan 6 buah kenderaan barangan telah dikenakan tindakan ,sebanyak 18 notis di keluarkan atas kesalahan membawa lebih muatan melebihi had dibenarkan di bawah seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 serta kesalahan di bawah Kaedah 89 MV (C&U) 1959, pelbagai kesalahan teknikal dan juga kesalahan pelesenan memandu.
Penguatkuasaan secara berterusan dan berfokus terhadap kenderaan barangan yang tidak patuh pada peraturan dan undang-undang serta membawa muatan melebihi had dibenarkan akan terus dilaksanakan secara telus bagi memastikan pemandu dan pemilik kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah berkuatkuasa serta memastikan kenderaan selamat digunakan dijalan raya.




