IPOH – Kerajaan Negeri Perak melalui People of Remarkable Talents (PORT) akan membawa kesenian dan budaya yang bertajuk ‘Pera+Flora+Fauna’ ke persada antarabangsa di Archivi della Misericordia, Venice, Itali.
Pameran yang akan bermula pada 23 April hingga 27 November 2022 ini menyentuh tentang wacana peribumi dan alam semula jadi yang terkesan oleh sikap dan budaya perindustrian arus perdana sejurusnya menjadi penyumbang utama kepada masalah alam sekitar.
YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin binti Dato’ Mohammed Radzi yang juga merangkap ahli Lembaga Pengarah PORT berkata, Perak adalah negeri yang padat dengan kepelbagaian jenis flora, fauna, aset sejarah dan budaya. Instisarinya diterokai dan dipersembahkan secara berestetika melalui pameran yang menarik ini.
Pameran ini akan berada di bawah pemantauan Pengurus Besar PORT, Nur Hanim binti Mohamed Khairuddin serta dikendalikan oleh kurator-kurator kanan iaitu Amir Zainorin dan Khaled Ramadan. Tidak lupa juga kepada kurator bersekutu iaitu Camilla Boemio dan Annie Jael Kwan.
Menurut Pengurus Besar PORT, adalah menjadi harapan mereka agar pameran Pera+Flora+Fauna boleh berperanan sebagai satu bentuk peringatan halus bagi kesemua seniman dan khalayak demi merenungi serta bertafakur sebentar tentang kepentingan untuk memupuk rasa hormat sesama makhluk dan hidupan di muka bumi ini.
Antara karya-karya yang akan ditampilkan adalah Azizan Paiman (Malaysia), Kamal Sabran (Malaysia), Kapallorek Artspace (Malaysia), Kim Ng (Malaysia), Projek Rabak (Malaysia), Saiful Razman (Malaysia) dan Stefano Cagol (Itali).
Ia menampilkan karya-karya para seniman dan kolektif seni Malaysia, termasuk juga pelukis multi-disiplin dari Itali yang merangkumi seni persembahan filem, bunyi, arca dan media baharu.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara Malaysia, Encik Amerrudin Ahmed turut menyatakan bahawa usaha yang dilakukan oleh PORT dan barisan kuratorial yang dilantik dalam mempersembahkan seni kontemporari negara di dalam sebuah acara bertaraf dunia ini merupakan satu pencapaian besar bagi persada seni visual Malaysia.
Sumber: SUK Perak