???? ???????, ?? ??? ????: Perairan Tanjung Tuan, Negeri Sembilan adalah sangat unik kerana ia satu-satunya kawasan tepian tanah besar Semenanjung yang mempunyai taburan terumbu karang yang cantik dan kepelbagaian spesies marin seperti ikan karang, tumbuhan akuatik, penyu dan mamalia akuatik.
Justeru, DOF telah menganjurkan satu Program Pemuliharaan Biodiversiti Marin Port Dickson di Tanjung Biru bagi tujuan memulihara ekosistem marin di perairan yang tersergam indah ini. Program ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Ir. Haji Bakri bin Sawir, Pengerusi J/Kuasa Bertindak Pertanian & Industri Makanan NS. Turut hadir YBrs.Cik Doreen Wee Siew Leen, Tim. Pengarah Perikanan NS; YBrs. Encik Jamsari bin Mohamad, Penghulu Mukim PD; YBrs. Tuan Mohd Kamal bin Mohd Timar, Ketua Balai Bomba & Penyelamat T.Kemang; YBrs. Tuan Sabirrullah Hj Mukadimin, Polis Marin Markas Taktikal Wilayah 2; YBrs.Encik Muhammad Danial Raj bin Arumugam, UPEN NS; YBrs. Encik Dzulkifli bin Hassan, Tim. Pengarah HEP Kolej-Poly-Tech MARA Bangi; YBrs.Tuan Lt.Kol Mohamad Izam bin Md Yamin, penyelam dari Barracuda Ent dan YBrs.Tuan Mejar Jamaluddin bin Rahim, penyelam dari SDI Explorer Divers.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah menyelam dan membersihkan dasar laut di perairan Tanjung Tuan dengan mengutip sampah, khususnya pukat hantu/tinggal yang tersangkut pada terumbu karang. Para penyelam terdiri daripada penyelam NGO, anggota bomba, DOF dan KPTM Bangi. Anggaran berat sampah yang berjaya dikutip berjumlah 100kg.
Hari ini juga menyaksikan pelepasan 6 ekor penyu agar dan penyu karah yang berumur antara 2 hingga 6 tahun serta 5 ekor ikan yu bodo yang berumur 3 bulan ke perairan PD setelah berjaya dieram, ditetas dan dibesarkan di Pusat Ikan Hiasan PD.
DOF berharap program ini dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya menghargai dan menjaga ekosistem marin agar tidak tercemar dan mengelakkan kepupusan biodiversiti khususnya perairan Port Dickson yang sememangnya terkenal dengan pemandangan laut yang indah.
Namun, di sebalik keunikan yang ada di perairan Tanjung Tuan ini, berlaku juga eksploitasi dari pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil hidupan marin di kawasan tersebut. Justeru, DOF telah menetapkan perairan sejauh 1 batu nautika dari pantai Tanjung Tuan adalah Kawasan Larangan Perikanan yang telah diwartakan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994. Sebarang aktiviti menjaring, membubu, mengail, memancing, mengambil batu karang, mengutip siput, rumpai laut dan seumpamanya adalah tidak dibenarkan. Sebarang perbuatan kesalahan ini boleh dikompaun minimum RM500, atau didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 2 tahun, atau kedua-duanya sekali
Sumber : FB Pejabat Perikanan Negeri Sembilan