DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025
NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 9: PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA (Komitmen Antrabangsa)
Skop kerjasama Jepun-Malaysia kini diperluaskan bagi melangkaui hubungan dua hala, ke arah memupuk keamanan dan kemakmuran di rantau ini dan juga di seluruh dunia, kata bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe.
Menurut bekas Perdana Menteri Jepun itu, dalam mengalu-alukan peluasan hubungan dua hala itu, Jepun berazam untuk terus bekerjasama dengan Malaysia bagi mengekalkan dan mengukuhkan ketenteraman antarabangsa yang bebas dan terbuka.
Beliau memaklumkan melalui dalam temu bual bertulis menjelang ketibaannya di sini malam tadi (10 Mac 2022) untuk lawatan rasmi tiga hari sebagai wakil khas Perdana Menteri Fumio Kishida. Jepun dan Malaysia, sebagai rakan strategik yang berkongsi kepentingan strategik dan nilai asas seperti demokrasi dan kedaulatan undang-undang, terus meluaskan skop kerjasama mereka melangkaui bidang ekonomi dan sosial.
Menurut beliau lagi, amat bermakna bagi kedua-dua negara untuk terus menggalakkan kerjasama dalam kesejahteraan dan keselamatan maritim, serta pembinaan kapasiti bagi merealisasikan ‘Free and Open Indo-Pacific (FOIP)’ dan ‘ASEAN Outlook on the Indo -Pacific (AOIP)’ untuk menjamin keamanan dan kemakmuran di rantau ini dan masyarakat antarabangsa.
Wilayah Indo-Pasifik yang turut menempatkan Jepun dan Malaysia, menghadapi cabaran serius terhadap ketenteraman antarabangsanya yang bebas dan terbuka berdasarkan kedaulatan undang-undang, daripada percubaan untuk mengubah ‘status quo’ secara unilateral menerusi kekerasan dan paksaan ekonomi.
Shinzo Abe yang pernah menjadi perdana menteri dua (2) kali, dalam tempoh Sembilan (9) tahun, dan ketua kerajaan paling lama dalam sejarah Jepun, menegaskan bahawa Jepun mempromosikan FOIP dan akan bekerjasama secara aktif dengan rakan kongsinya termasuk Malaysia, yang disifatkannya sebagai ‘rakan sehaluan’, untuk merealisasikan AOIP yang berkongsi banyak prinsip asas.
Beliau memberi contoh peningkatan kedaulatan undang-undang di laut, yang menyaksikan Jepun menyokong pembinaan kapasiti pegawai pengawal pantai Malaysia sejak penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada 2005. Menurut beliau, pegawai pengawal pantai mendapat manfaat daripada bantuan ini dan kini berkhidmat sebagai tenaga pengajar untuk memberi latihan kepada negara ketiga. Oleh hal yang demikian, beliau yakin Jepun akan terus bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang ini.
Jepun memberi perhatian khusus kepada Laut Sulu-Celebes, sebagai laluan laut utama untuk merealisasikan FOIP. Jepun, dengan penyelarasan dengan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), bersedia untuk memperkukuh kerjasama di Laut Sulu-Celebes dan kawasan sekitarnya, yang terdedah dari segi ekonomi dan sosial, (dan) sering berhadapan ancaman lanun lanun, serangan pengganas dan bencana alam.
Jepun dan Malaysia menikmati jalinan perkongsian ekonomi dan strategik yang rapat, dirangsang oleh kira-kira 1,500 syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia. Selain menyediakan bantuan untuk respons COVID-19 oleh kerajaan Malaysia, Jepun juga menyokong projek bandar pintar di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuching, yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan kecanggihan fungsi serta perkhidmatan serantau.
“Saya berbangga kerana pihak yang mempunyai hubungan sebegitu dengan Jepun memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang di Malaysia, berfungsi sebagai jambatan yang tidak akan goyah, dalam menghubungkan kedua-dua negara kita,” katanya.
Kerajaan Jepun turut menyokong pembukaan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia, kampus asing pertama universiti Jepun, bagi membolehkan rakyat Malaysia menerima pendidikan gaya Jepun di dalam negara itu sendiri.
Sumber: