DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025
NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 7: PEMBANGUNAN MAMPAN (Pemuliharaan Alam Sekitar)
BUKIT MERTAJAM, 09 Mac 2022 – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang telah bertindak menyita sebuah kawasan sawah di belakang perumahan Desa Bukit Merah, Jalan Kubang Semang di sini kerana dijadikan tapak pelupusan sampah haram dan mengarahkan mereka yang terlibat membuat pembersihan segera.
JAS Pulau Pinang memaklumkan bahawa pihak mereka telah menerima maklumat awal bahawa terdapat pembakaran terbuka di kawasan tersebut, sebelum siasatan mendapati sawah seluas 0.4 hekar itu dijadikan tapak pelupusan sampah haram seperti sisa pepejal, binaan dan disyaki sisa buangan terjadual. Hasil siasatan lanjut di tapak itu menemukan 30 beg mengandungi sisa industri yang dilupuskan secara haram di kawasan sawah padi dan sampel bahan buangan tersebut telah diambil, seterusnya dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisa.
Menurut Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, lanjutan itu, JAS Pulau Pinang telah menjalankan siasatan ke beberapa premis di Pulau Pinang dan berjaya mengenal pasti premis pengeluar buangan tersebut serta beberapa pihak berkaitan, iaitu tuan punya tanah, penyewa dan beberapa pihak lain yang mungkin terlibat dalam kejadian itu. Kesemua pihak yang dikenal pasti telah dipanggil untuk beberapa siri rakaman percakapan serta siasatan lanjut, dan menerusi beberapa perbincangan dengan pihak terlibat, premis pengeluar dan penyewa bersetuju menanggung kos pembersihan dan pelupusan serta lain-lain kos berkaitan.
Menurut beliau lagi, semua sisa yang telah tercemar dengan sisa buangan terjadual akan dihantar ke tapak pelupusan akhir di Kualiti Alam Sdn Bhd, manakala untuk sisa pepejal biasa pemilik tanah diarahkan melupuskan buangan tersebut di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Burung. Mereka yang terlibat dengan aktiviti tersebut juga memberikan kerjasama untuk melantik Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd bagi menguruskan semua kerja-kerja pembersihan dan pelupusan buangan berkenaan, yang dikategorikan sebagai buangan terjadual SW204 dan SW408.
Semua kerja-kerja pembersihan bermula semalam dan dijangka selesai dalam masa tujuh (7) hari dengan anggaran awal kos pelupusan sekitar RM500,000 namun kos tersebut boleh meningkat jika lebih banyak buangan dijumpai apabila korekan dibuat. Kertas siasatan juga telah dibuka berhubung kes pelupusan haram ini di bawah Seksyen 24B dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain turut memaklumkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kewujudan tapak pelupusan haram di kawasan sawah itu.
Berdasarkan siasatan JAS Pulau Pinang, didapati pemilik dan penyewa tanah sawah itu telah melakukan tambakan tanah menggunakan sisa buangan bagi tujuan pembinaan bangunan tanpa sebarang kelulusan daripada MBSP.
Sumber berita :
Gambar Ihsan daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang