DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025
NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 7: PEMBANGUNAN MAMPAN (Sekuriti Makanan / Food Security)
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi tumpuan kepada penghasilan dua jenis benih yang mampu memberi pulangan serta kualiti hasil padi yang baik. Beliau meminta agar kajian dilakukan bagi benih yang berdaya tahan apabila ditenggelami banjir dan tidak menggunakan kuantiti air yang banyak.
YAB Perdana Menteri dalam ucapan beliau semasa Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 kepada komuniti di Felcra Sri Mahkota di Endau pada 9 Mac 2022 (Rabu) lalu, jika dilihat kepada negara seperti Filipina dan India, mereka mempunyai benih padi yang mampu bertahan apabila ditenggelami air justeru itu, Malaysia yang mengalami ketidak tentuan banjir pada ketika ini, kadang-kadang waktu padi sedang meranum dan tiba-tiba ditenggelami air menyebabkan padi musnah.
Oleh hal yang demikian, YAB Perdana Menteri memohon agar MOSTI untuk membuat kajian terhadap penghasilan benih padi yang mampu menghasilkan tanaman padi yang mampu bertahan apabila ditenggelami air untuk beberapa ketika.
Menurut YAB Perdana Menteri lagi, sebelum ini, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membuat kajian mengenai benih padi yang tidak menggunakan kuantiti air yang banyak. Namun, hasil padi yang dikeluarkan susulan penggunaan benih itu agak rendah iaitu sekitar tiga hingga empat tan sahaja.
Justeru, beliau meminta MOSTI dan MARDI meneruskan kajian supaya hasil yang diperoleh tidak terlalu rendah sekali gus dapat membantu pesawah mengurangkan kos dan memberi keuntungan kepada mereka.
MARDI telah membuat kajian benih padi ditanam bukan di sawah yang perlukan air bertakung iaitu ia hanya perlu disiram seperti pokok bunga dan tidak memerlukan tali air. Benih tersebut juga telah dilancarkan di Pulau Pinang sebelum ini namum hasilnya agak rendah dan Perdana Menteri meminta agar MOSTI dan MARDI membuat kajian untuk mengatasi isu tersebut.
Selain itu, Perdana Menteri juga menyeru agar lebih ramai penyelidik tempatan dalam pelbagai bidang kepakaran tampil mengetengahkan penyelidikan dan pembangunan serta menggembleng tenaga bagi membangunkan inovasi agromakanan negara. Kerajaan sentiasa berusaha memastikan usaha mempertingkat produktiviti industri padi dilakukan secara proaktif termasuk memperkenal teknologi terkini bagi mendepani cabaran dan memperkasa keupayaan.
MOSTI telah memberikan dana penyelidikan kepada syarikat Pengeluar Padi Sah di Sekinchan dengan kerjasama Agensi Nuklear bagi membangunkan Loji Pengeluaran Benih Asas Padi IS21 mengikut piawaian SOP antarabangsa bagi menghasilkan benih sah yang berkualiti tinggi. Mengulas benih padi IS21 yang dilancarkan pada November tahun lepas di Sekinchan, Selangor, Perdana Menteri berkata pesawah dan petani yang menggunakannya telah memberikan maklum balas positif. Justeru, beliau percaya jika penggunaan benih itu dilebar luas di Endau, pesawah dan petani akan dapat menikmati manfaat dari segi peningkatan pendapatan serta taraf hidup mereka.
Sumber : BERNAMA