KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini semakin berkurang iaitu 7,194 berbanding lebih 9,000 pada Rabu.
Menurut portal InfoBencanaJKM, sehingga jam 11.29 pagi Khamis, sebanyak 21 PPS dibuka melibatkan jajahan Pasir Mas dan Tumpat dengan menempatkan 2,389 keluarga.
Walaupun keadaan cuaca di beberapa kawasan kembali cerah dan tidak mengalami hujan, namun kawasan-kawasan berisiko masih lagi dilimpahi air.
Sementara itu, menurut portal Mypublic Infobanjir, sehingga jam 11.25 pagi Khamis, dua sungai masih mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu, manakala sungai-sungai lain mencatatkan aras bacaan normal.
Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan arahan pihak berwajib untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa berada di PPS.
SUMBER : SINAR HARIAN, INFOBENCANA JKM & MYPUBLIC INFOBANJIR



