IPOH – Kerajaan Negeri Perak di bawah Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi Dan Sumber Manusia telah melancarkan Program SMART G -Tuisyen dan Program Makanan Percuma Pelajar SPM / SVM / STPM / STAM 2021 di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS).
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, Inisiatif ini secara tidak langsung akan memberikan manfaat kepada 33,119 orang murid di seluruh negeri Perak selama 20 hari yang turut melibatkan murid-murid sekolah tahfiz seramai 232 orang murid.
“Pelaksanaan inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat membantu para pengusaha kantin sekolah di mana pihak sekolah adalah diwajibkan untuk memberi tender penyediaan makanan ini kepada pengusaha kantin di sekolah masing-masing tanpa melibatkan pengusaha atau operator makanan dari luar.
“Objektif utama inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) adalah untuk meningkatkan pelaksanaan strategi pembelajaran berkesan mengikut tahap keupayaan murid dan ia merangkumi enam inisiatif strategik iaitu tuisyen & kelas tambahan, bahan pengajaran interaktif, bantuan khas makanan, program latih tubi berfokus, kesejahteraan & kesihatan murid serta khidmat sosial & komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Program SMART G -Tuisyen dan Program Makanan Percuma Pelajar SPM / SVM / STPM / STAM 2021 di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) di Casuarina@Meru, di sini.
Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Saidi Mohamad Daud dan YBrs. Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Puan Hjh. Rahimah Mohamed.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, kerajaan negeri juga melancarkan Program SMART-G Tuisyen bagi membantu murid-murid sederhana akademik.
“Program ini menumpukan usaha dalam membantu murid-murid yang sederhana dalam prestasi akademik agar dapat ditingkatkan prestasi mereka melalui tuisyen percuma secara online (dalam talian).
“Ia dijangka akan dilaksanakan pada bulan Mac 2022 dan akan memberi manfaat kepada 6,000 murid di negeri Perak khususnya kepada pelajar B40 dan M40 yang terpilih dengan peruntukan sebanyak RM600,000.00 melibatkan empat pengendali tuisyen atas talian,”ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, sebanyak enam syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Perak (GLC) iaitu Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Kerajaan Negeri Perak telah memberikan sumbangan dengan jumlah tajaan keseluruhan sebanyak RM3.45 Juta bagi menjayakan program tersebut.
Sumber: SUK Perak



