WANITA RUGI RM10,320, TERPEDAYA IKLAN iPHONE MURAH DI INSTAGRAM

AYER KEROH 14 Feb – Gara-gara mahu membeli telefon bimbit iPhone 13 Pro dengan harga murah, seorang wanita terpaksa menanggung kerugian besar akibat ditipu ‘scammer’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan, mangsa yang bekerja sebagai pembantu jualan terpedaya dengan tawaran iPhone 13 pro berharga RM1,200 menerusi laman Instagram pada semalam (13 Feb).

Beliau berkata, mangsa kemudiannya bertindak menghubungi suspek melalui nombor telefon yang disertakan dan diarah membuat bayaran secara berperingkat ke dalam akaun yang diberikan.

Bagaimanapun, mangsa berasa dirinya ditipu selepas suspek masih meminta wang daripadanya meskipun sudah memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM10,320 pada hari yang sama.

“Suspek menggunakan alasan wang berkenaan akan digunakan sebagai caj pembayaran kastam dan caj insurans pembungkusan.

“Namun apabila suspek masih meminta wang, mangsa baru sahaja menyedari dirinya diperdaya, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jasin, semalam,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan pihak polis menerusi aplikasi ‘Semak Mule CCID’ mendapati nombor telefon digunakan suspek mempunyai enam rekod melibatkan modus operandi yang sama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

“JSJK Melaka menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan penjualan telefon bimbit secara dalam talian yang menawarkan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Orang ramai dinasihati membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat naik aplikasi ‘Semak Mule CCID’ melalui Playstore,” katanya.

Sundra Rajan memaklumkan, setakat 1 Jan hingga 13 Feb, sebanyak tujuh kes penipuan pembelian telefon bimbit secara dalam talian telah direkodkan di Melaka membabitkan kerugian berjumlah RM52,190.

Sumber : Melaka Hari Ini

Artikel/Berita Terkini

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut