KUALA TERENGGANU, 13 FEB 2022 – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali mendahului senarai 24 penerima Darjah Kebesaran Negeri Terengganu pada istiadat yang berlangsung di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu pada 13 Februari 2022. Majlis penganugerahan disempurnakan oleh DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang membawa gelaran Dato’ Seri.
Seramai 19 individu dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk, termasuk pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Kasemani Embong; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr Nor Azimi Yunus dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar.
Sultan Mizan juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (SMT) kepada empat penerima termasuk Pakar Patologi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Fatimah Haslina Abdullah dan Pengarah Hospital Hulu Terengganu, Dr Mohamad Yurzi Mat Rani @ Ghani.
TAHNIAH diucapkan sekali lagi kepada mereka yang telah dianugerahkan pingat kebesaran oleh DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin