JPN MELAKA PROSES 60 PERMOHONAN MYKAD, SIJIL KELAHIRAN MENERUSI MEKAR

 

ALOR GAJAH, 9 Feb – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka telah memproses 60 permohonan dokumen pengenalan diri MyKad dan sijil kelahiran bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) sepanjang tahun lepas.

Pengarah JPN Melaka Norazle Sulaiman berkata menerusi program itu, Pasukan Mekar JPN Melaka akan turun padang ke rumah pemohon setiap minggu bagi melakukan proses pengeluaran atau penggantian MyKad atau sijil kelahiran.

“Program ini telah diwujudkan oleh JPN sejak lama dahulu cuma ia dijenamakan semula baru-baru ini sebagai Program Mekar dan selalunya JPN Melaka menerima hampir 150 permohonan setiap tahun tetapi disebabkan pandemik COVID-19, jumlah permohonan yang diterima agak berkurang.

“Pada tahun lepas sehingga hari ini, kita telah menerima 17 permohonan dan hari ini kita menguruskan lima permohonan penukaran MyKad antaranya melibatkan golongan warga emas dan individu yang menghadapi kesukaran untuk bergerak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program berkenaan di Taman Pengkalan Indah di sini hari ini.

Katanya, program tersebut merupakan antara pendekatan proaktif JPN bagi memastikan setiap penduduk di negara ini yang layak mendapat dokumen pengenalan diri yang sah sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata Pasukan Mekar JPN mendapat kerjasama dan maklumat daripada pelbagai pihak antaranya Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun (Japerun), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), penghulu dan masyarakat setempat yang sentiasa prihatin tentang individu di sekililing mereka yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri.

Katanya golongan OKU, warga emas, pesakit terlantar dan individu yang tinggal di kawasan pedalaman yang ingin mendapatkan janji temu menerusi Program Mekar JPN boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN Melaka di talian 06-2326600/6881 atau emel ke pppmelaka@jpn.gov.my.

Sementara itu, suri rumah Norsiah Md Nor, 59, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada JPN Melaka kerana memudahkan urusannya dan suami, Omar Md Dom, 62, yang merupakan pesara polis untuk menukar kad pengenalan kerana mereka sukar untuk ke pejabat JPN berhampiran.

“Makcik tidak tahu memandu manakala pakcik pula tidak boleh memandu. Pergerakannya terbatas selepas dia mengalami serangan angin ahmar kira-kira setahun lepas. Anak-anak pula tinggal di luar Melaka. Program ini sangat memudahkan golongan warga emas dan yang sukar berulang-alik ke pejabat JPN,” katanya.

Sumber – BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

SELAMATKAN DIRI DENGAN UBAH KEPADA GAYA HIDUP SIHAT

Kesihatan aset penting dalam kehidupan manusia dan menjadi aspek utama dalam kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat atau negara. Tanpa disedari, corak …
Maklumat Lanjut

KEPKAS AMBIL TINDAKAN SUSULAN INSIDEN PELANCONG CHINA CEDERA AKTIVITI PARAGLIDING DI RANAU

KOTA KINABALU (30 April): Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar melalui agensinya Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang membuat susulan berhubung …
Maklumat Lanjut

PESTA KAAMATAN MENGINGATKAN SEMUA UNTUK BERUSAHA LEBIH GIAT LAGI: HAJIJI

RANAU (1 Mei): Sambutan Pesta Kaamatan memberi peringatan kepada semua pihak untuk berusaha dengan lebih giat lagi bagi meningkatkan keberhasilan …
Maklumat Lanjut