Kuala Terengganu, 15 Nov 2021 – Negeri Terengganu telah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 25 Oktober yang lalu di mana lebih banyak kelonggaran telah diberikan terutamanya penganjuran majlis sosial yang sudah lama dinanti-nantikan. Manakala aktiviti rentas negeri sudah dibenarkan terlebih dahulu pada 11 Oktober 2021.
Sehubungan itu, dalam mengurangkan risiko jangkitan wabak COVID-19, pematuhan kepada SOP dan pengamalan norma baharu dalam masyarakat perlu diperkasakan agar semua peringkat golongan masyarakat terus berdisiplin dan patuh kepada SOP yang telah digariskan oleh pihak kerajaan. Disamping langkah-langkah penguatkuasaan yang dijalankan, masyarakat juga perlu menyesuaikan diri dengan amalan norma baharu dalam suasana wabak ini terutamanya golongan minoriti Orang Asli di negeri Terengganu.
Menyedari keperluan pembudayaan norma baharu yang perlu diterapkan di peringkat akar umbi, MKN Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Kemaman dan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman telah berjaya melaksanakan program kolaborasi bagi menyampaikan mesej-mesej berkaitan pembudayaan norma baharuย dan kepentingan mengamalkan normal baharu bagi mencegah penularan wabak COVID-19 dalam komuniti selain menyampaikan mesej kepentingan mengamalkan amalan-amalan tersebut.
Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah JAKOA Negeri Kelantan/Terengganu, Tuan Haji Shafie bin Abas dan dihadiri oleh Penolong Pengarah JaPen Negeri Terengganu, Encik Mohd Othman Abu Bakar, Penolong Pengarah MKN Negeri Terengganu, Puan Nurul Laila Suhaimi, Pengurus Kawasan FELCRA Bukit Keladi, En Syed Muhamad Aizuddin bin Syed Hamzah dan Tok Batin Kampung Sungai Pergam, Encik Roslan Semail. Program ini mendapat sambutan yang baik oleh masyarakat Orang Asli dengan kehadiran lebih 300 orang.
Dalam program ini juga, taklimat berkenaan pembudayaan norma baharu telah disampaikan oleh Penolong Pengarah MKN Negeri Terengganu, Encik Ahmat Yazid Maliki. Selain itu, Pengarah JAKOA juga turut menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli Kg Sungai Pergam yang telah lengkap suntikan vaksinasi COVID-19. Tidak ketinggalan, JaPen Terengganu turut menyampaikan sumbangan kepada 20 keluarga yang memerlukan bantuan.
Pada masa yang sama, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman turut membuka booth suntikan vaksinasi bagi yang belum mengambil suntikan vaksin COVID-19 memandangkan masih terdapat 30% yang belum menerima suntikan vakisn COVID-19. Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman telah berjaya memberi suntikan kepada 2 orang dan seorang remaja Orang Asli telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
Secara keseluruhan, program ini mencapai objektif utama program iaitu untuk mendidik masyarakat untuk membudayakan norma baharu dalam komuniti dan bersama-sama memainkan peranan bagi mencegah penularan COVID-19 dalam komuniti.
Untuk perkembangan terkini dan situasi Covid-19 di Terengganu, boleh layari laman sosial rasmi MKN Terengganu:
#MKN50 #KeluargaMalaysia #LindungDiriLindungSemua #MKNTerengganu