SANG SAKA BIRU

 

Peringatan Hari Polis disambut pada 25 Mac setiap tahun. Pada tahun 2021 ini genap 214 tahun sambutan hari polis ini diraikan di Malaysia. Pada 25 Mac 1807, sistem kepolisian yang moden dan sistematik telah bermula di Malaysia dengan berkuat kuasanya Piagam Keadilan atau dikenali sebagai β€˜Charter of Justice’ di Pulau Pinang. Piagam yang diperkenalkan oleh King Gorge III telah memisahkan kuasa kehakiman daripada kuasa perundangan. Ketua pasukan polis yang pertama ialah Encik James Carnegy yang telah dilantik sebagai sheriff bagi Prince of Wales Island iaitu Pulau Pinang. Pentadbir British telah menggabungkan semua pasukan polis Negeri-Negeri Selat, pasukan polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan pasukan polis Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan dikenali sebagai pasukan Polis Malayan Union. Penggabungan ini dilaksanakan setelah Tanah Melayu Berjaya dibebaskan daripada pendudukan Jepun.

Pada 1 Februari 1948, pasukan Polis Malayan Union telah ditukar nama kepada Polis Persekutuan Tanah Melayu apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan. Pasukan ini telah diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Polis. Perjuangan, pengorbanan dan khidmat bakti anggota polis dalam memastikan keselamatan rakyat negara ini dan mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman anasir-anasir luar selama bertahun-bertahun amatlah dihargai. Antara ancaman pemberontakan yang berjaya dikekang oleh pihak polis adalah pemberontakan bersenjata pengganas komunis sepanjang tempoh darurat iaitu pada tahun 1948-1960. Pasukan polis Bersama pasukan keselamatan lain telah menjadi teraju utama dalam merangka strategi dan membanteras keganasan komunis. Selain itu, kebangkitan Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1968 telah membawa kepada penubuhan kepada pasukan elit Polis Hutan yang dikenali sebagai Komando PPH 69 pada 25 Oktober 1969. Serangan komunis juga telah berlaku pada 23 Februari 1950 di Balai Polis Bukit Kepong. Pertempuran ini telah mengorbankan 25 nyawa yang terdiri daripada anggota polis dan orang awam. Namun, semangat juang anggota polis dan keseluruhan warga Balai Polis Bukit Kepong telah menjadi bukti kesungguhan dan pengorbanan seluruh anggota dan keluarga dalam mempertahankan maruah, agama, bangsa dan negara.

Pengiktirafan dan penghormatan kepada pasukan polis Persekutuan Tanah Melayu dengan gelaran DIRAJA telah dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang pertama iaitu Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Mohamad. Penganugerahan ini merupakan penghargaan dan penghormatan cemerlang semasa Darurat yang ditunjukkan oleh pasukan polis.

Sang saka biru cukup sinonim bagi menggambarkan bendera PDRM. Ia telah diperkenalkan kepada umum pada 16 Mei 1994 dan kekal digunakan sehingga hari ini. Perlambangan sang saka biru dari segi warna dan logo membawa makna berbeza bagi menggambarkan kemegahan dan kehebatan pasukan polis Malaysia. Warna biru pada sang saka biru melambangkan rakyat jelata. Manakala, lambang polis pula berwarna perak. Bulan dan Bintang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara. Perkataan Allah dan Muhammad juga melambangkan Islam sebagai agama rasmi dan keimanan dalam pasukan. Mahkota melambangkan bahawa PDRM sentiasa menjunjung tinggi kesucian Islam dan kebesaran Allah serta sanjungan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atas pengurniaan gelaran β€˜Diraja’kepada pasukan polis. Keris melambangkan Semenanjung Malaysia dan Parang Tradisional melambangkan Negeri Sabah dan Sarawak. Kepala harimau melambangkan kegagahan, keberanian dan semangat juang. Bunga padi melambangkan makanan asasi rakyat serta kemakmuran negara.

Setelah 214 tahun, pasukan polis negara telah berkembang dan berjaya beradaptasi melalui banyak siri transformasi dan pembaharuan bagi memastikan pasukan polis ini kekal relevan dan mampu mendepani cabaran-cabaran yang mendatang. Usaha pasukan polis membanteras jenayah dan anasir-anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman rakyat amat disanjung tinggi dan dihormati.

 

Khas buat Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Jutaan Terima Kasih diucapkan atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan selama ini. Semoga PDRM akan sentiasa bersemangat dan mengekalkan dedikasi serta semangat juang yang tinggi dalam memastikan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Malaysia terjamin.

 

Sumber rujukan:

https://www.pnm.gov.my/pnm/resources/flipbook/PDRM/files/sejarah_pdrm_latest.pdf

Gambar Ihsan : FB Polis KL

 

 

Artikel/Berita Terkini

CIRCUMSICION PROGRAMME BILATERAL MALAYSIA THAILAND 2024

CIRCUMCISION PROGRAMME 2024 TARIKH: 22 April 2024 MASA: 0930H – 1230H TEMPAT: Loh Jood Sub-District Administrative, Organisation, Waeng, Narathiwat Thailand …
Maklumat Lanjut

PERBELANJAAN ISI RUMAH DIUNJUR MENINGKAT KEPADA RM903.8 BILION

KUALA LUMPUR: BMI, firma penyelidikan di bawah Fitch Solutions menjangkakan perbelanjaan isi rumah Malaysia akan naik lima peratus dari tahun …
Maklumat Lanjut