MyFOOD BERI MANFAAT 32,000 ISI RUMAH

MESKIPUN pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu golongan yang terjejas ekoran pandemik COVID-19, namun masih ramai lagi yang memerlukan bantuan.

Bagi penduduk yang menetap di projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di ibu kota, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memahami keperitan golongan miskin bandar yang menerima kesan pandemik ini dan memperkenalkan program MyFood@Wilayah bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, beberapa laporan yang telah dibuat termasuk laporan berkala oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan BangsaBangsa Bersatu (UNESCO) yang mengetengahkan mengenai kemiskinan bandar secara khusus di kawasan PPR dan PA.

Malah Perdana Menteri telah membuat beberapa kunjungan ke PPR serta PA di sekitar ibu kota dan telah menarik perhatian kabinet tentang adanya keluarga yang dikategorikan sebagai keluarga miskin bandar.

“Pihak KWP telah mengadakan program khusus untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup yang ditanggung ekoran kesan pandemik COVID-19 dengan memperkenalkan program MyFood@Wilayah serta empat program di bawah Inisiatif Wilayah Cakna”

Menurut Annuar, apabila Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kebangsaan telah diubah, maka pihak kerajaan telah menjangkakan angka sebenar kemiskinan bandar akan meningkat.

“KWP telah pun mengambil tindakan susulan dengan mengadakan perbincangan dengan pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) khususnya dengan Menteri di Jabatan Perdana  Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad untuk memberikan fokus kepada langkah-langkah yang akan diambil dalam RMK-12 bagi menangani masalah kemiskinan
bandar.

“Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) juga telah diminta untuk membuat tinjauan di semua PPR dan PA bagi memastikan tidak ada keluarga yang terbiar kerana masalah kemiskinan. Dalam masa sama KWP melancarkan program My5 yang terdiri daripada MySchoolBus@Wilayah; MyGrocer@Wilayah; MyMedic@Wilayah; MyJob@Wilayah bagi mengurangkan kos sara hidup kumpulan sasar termasuklah program terbaharu MyFood@Wilayah,” katanya.

Beliau berkata, melalui inisiatif ini, seramai 32,000 orang Ketua Isi Rumah (KIR) miskin bandar di 67 lokasi PPR dan PA di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima bantuan bekalan makanan yang terdiri daripada barang keperluan harian asas bernilai RM50.00 seunit secara percuma.

“Ia membabitkan peruntukan sebanyak RM1.6 juta. Antara lokasi terbabit ialah di PA Seri Kota, PA Seri Melaka, PA Desa Petaling, PPR Seri Malaysia, PPR Kerinchi Lembah Pantai, PPR Kampung Muhibah, PPR Jelatek, PA Seksyen 10 Wangsa Maju, PPR Kampung Limau dan PPR Beringin,” katanya.

Annuar memberitahu, pengagihan bakul makanan kepada kumpulan sasar ini dibuat secara berperingkat dengan kerjasama empat Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) iaitu Badan Inisiatif Jalinan Nasional, Kelab Putera Puteri Inspirasi Bandar Sri Damansara, Yayasan Himmah Malaysia dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, DBKL, MPPWP dan Persatuan Penduduk di setiap zon.

“Penglibatan pelbagai pihak dalam proses pengagihan bakul makanan ini dapat melancarkan
proses pengagihan di samping mengurangkan keperluan bagi pergerakan orang ramai untuk mendapatkan bakul makanan mereka terutama sekali dalam situasi PKPB.

“NGO lain yang berminat untuk melaksanakan perkhidmatan secara sukarela ini adalah dialu-alukan oleh pihak kerajaan kerana dapat memberikan sumbangan secara percuma kepada golongan yang terkesan bagi kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Kata Annuar lagi, menerusi Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 3.0, KWP melalui DBKL dan Perbadanan Putrajaya telah menyediakan bantuan Food Pack berbentuk baucar makanan kepada asnaf dan golongan miskin (B40) bernilai RM100 untuk setiap isi rumah.

“Bantuan sebegini diteruskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang memberi bantuan barang keperluan asas melalui Program JAWI Food Bank dan Program Dapur It’am.

“Menerusi bantuan-bantuan yang diberikan melalui IWC, dapat melegakan warga kota dan mengurangkan beban sara hidup yang perlu ditanggung. Jelasnya, bantuan sebegini akan diteruskan pada masa akan datang memandangkan program ini merupakan pelan perancangan jangka masa panjang dan komprehensif KWP bagi membantu mengurangkan kos sara hidup yang ditanggung golongan miskin bandar.

“Program ini juga akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan perumahan kos rendah swasta
dan kampung tradisi pada masa hadapan,” katanya.

Sumber: Wilayahku

Artikel/Berita Terkini

MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF

Ayer Keroh – Melaka bersedia menjadi pusat pemindahan teknologi Jerman bagi rantau Asia Tenggara menerusi pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut