Pada 2 September 2025, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu telah melaksanakan operasi penguatkuasaan Ops Selera, Ops Hijau, Ops Kutip dan Ops Sapu di daerah Kuala Nerus, Setiu dan Besut. Operasi dijalankan hasil makluman awam dan risikan oleh Bahagia Penguatkuasaan JIM Negeri Terengganu.
Enam premis telah diperiksa dengan melibatkan seramai 48 individu dan hasil pemeriksaan seramai 23 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berumur antara 14 sehingga 60 tahun ditahan. Mereka terdiri daripada dua lelaki warga Indonesia, 15 lelaki warga Bangladesh, serta dua lelaki, tiga perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan warga Thailand. Selain itu, dua individu warga tempatan yang juga merupakan majikan turut diberikan notis hadir ke pejabat penguatkuasa untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut. Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memiliki pas atau permit sah di bawah Seksyen 6(1)(c), tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c), serta melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda, penjara atau sebatan, manakala majikan berdepan tindakan undang-undang kerana menggaji atau melindungi PATI.
Sumber: JIM Negeri Terengganu



