26 Ogos 2025
BERA: Polis menahan empat lelaki serta merampas dadah dianggarkan bernilai kira-kira RM14,700 menerusi dua serbuan berasingan dalam ladang kelapa sawit di FELDA Bukit Puchong, Triang di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata serbuan dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera.
“Dalam serbuan pertama sekitar jam 10 pagi, tiga lelaki berumur 39, 43 dan 44 tahun ditahan bersama dadah jenis heroin seberat 529.52 gram (g) serta syabu (13.34g), selain wang tunai RM530.
“Pasukan serbuan yang masih berkawal di lokasi sama kemudian berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 41 tahun kira-kira jam 12 tengah hari.
“Keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM14,706.40, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis morfin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, polis menyita tiga kenderaan milik suspek dianggarkan bernilai kira-kira RM13,000, mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Hasil semakan mendapati keempat-empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah narkotik. Mereka kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 1 September depan bagi membantu siasatan,” katanya.
Zulkiflee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama, boleh dikenakan denda hingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun dan pengawasan polis selama tiga tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.
sumber: BERITA HARIAN




