Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan memasang perangkap dan kamera selepas menerima aduan mengenai kemunculan kelibat haiwan liar disyaki harimau kumbang di Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau.
Menurut Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada penduduk pada Ahad sekitar jam 8 malam, yang mendakwa melihat kelibat haiwan berkenaan.
Beliau dimaklumkan oleh Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Negeri Sembilan bahawa selepas pemantauan awal dijalankan, terdapat kemungkinan harimau kumbang telah melalui kawasan tersebut. Bagaimanapun, tiada kes serangan terhadap ternakan seperti kambing dilaporkan ketika pemantauan dilakukan oleh pegawai di lapangan.
Menurutnya, lokasi kejadian terletak di kawasan kebun getah yang agak jauh dari penempatan penduduk. Pihaknya telah memasang perangkap dan kamera untuk mengesahkan sama ada kehadiran harimau kumbang itu benar atau sebaliknya. Tiada tapak kaki yang dapat dikenal pasti setakat ini kerana struktur tanah yang keras menyukarkan pengecaman jelas di lokasi aduan.
Beliau menegaskan, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk serta ternakan terjamin, selain mengesahkan kewujudan haiwan liar itu di kawasan berkenaan.
Sumber: Sinar Harian



