ECOS, SE SERBU LIMA PREMIS CURI ELEKTRIK

OPERASI: Pasukan ECoS dan SE membuat pemeriksaan meter elektrik di premis yang disyaki mencuri elektrik.

KOTA KINABALU: Sebanyak lima premis di sekitar Kota Kinabalu, Telipok dan Tamparuli diserbu pasukan penguat kuasa Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity (SE) kerana disyaki mencuri elektrik.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, kesemua premis terbabit melibatkan pengguna industri, komersial, dan rumah di penempatan setinggan.

Katanya, serbuan berkenaan dijalankan dalam operasi bersepadu diketuai Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Wilayah ECoS pada 24, 25 dan 27 Februari lepas.

Menurutnya, bagi kes yang melibatkan pengguna industri dan komersial, pelaku akan disiasat di bawah Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

“Jika didapati bersalah, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 sehingga tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes-kes yang melibatkan rumah di penempatan setinggan yang terlibat dalam kegiatan menggunakan elektrik tanpa melalui meter akan disiasat di bawah Seksyen 61(3).

“Jika didapati bersalah, pelaku boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 sehingga tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, premis yang disyaki membekalkan elektrik ke beberapa rumah lain tanpa kelulusan daripada syarikat utiliti akan disiasat di bawah Seksyen 61(8) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, bagi kes membekalkan bekalan elektrik ke premis lain tanpa lesen, pesalah boleh didakwa di bawah Seksyen 8(1)(b) dan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Nasser mengingatkan orang ramai agar tidak mengusik meter elektrik atau membuat pengubahsuaian haram.

“Kegiatan ini salah di sisi undang-undang dan mengundang risiko keselamatan yang tinggi kepada pengguna dan orang ramai,” katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, dua pemilik premis melibatkan restoran makanan segera dan kedai perabot didakwa di mahkamah di sini masing-masing pada 13 Februari dan 19 Februari lepas selepas hakim menjatuhkan hukuman denda antara RM20,000 sehingga RM35,000.

Selain itu beliau berkata, seorang pemilik kilang ais turut didakwa di mahkamah Sandakan pada 17 Februari dan tidak mengaku bersalah. Tarikh sebutan seterusnya ditetapkan pada 19 Mac 2025.

Menurutnya, ketiga-tiga kes berkenaan adalah hasil serbuan bersepadu yang dilaksanakan oleh ECoS dan SE pada 2024.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut