HUJAN BERTERUSAN TAHAP BURUK SERTA WASPADA DI SABAH DAN JOHOR HINGGA AHAD – METMALAYSIA

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka melanda Sabah membabitkan kawasan Telupid, Beluran dan Sandakan hingga esok.

MetMalaysia menerusi kenyataan hari ini, turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di Johor bermula esok hingga Ahad membabitkan kawasan Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Sarawak melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu hingga Sabtu ini manakala di Sabah melibatkan kawasan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat hingga esok.

Sementara itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di empat negeri hingga Ahad ini.

Jabatan itu memaklumkan Amaran Kategori Ketiga melibatkan kejadian angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 kilometer sejam (kmj) dengan ketinggian ombak hingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Amaran angin kencang dan laut bergelora (Kategori Pertama) turut dikeluarkan MetMalaysia bagi kawasan perairan Sarawak dengan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kmj dan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter dijangka berlaku hingga Ahad ini.

Keadaan tersebut berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran kenaikan paras air laut yang dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan hingga Ahad dan keadaan itu berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

KERAJAAN UTAMA KEPENTINGAN PERLUAS CAPAIAN DIGITAL

CENDERAMATA: Hajiji menerima cenderamata daripada Gobind semasa kunjungan hormat di pejabatnya di Menara Kinabalu hari ini. KOTA KINABALU: Kerajaan negeri …
Maklumat Lanjut

PELANCONGAN KEKAL TERAS PEMACU EKONOMI SABAH

RASMI: Christina yang mewakili Ketua Menteri memalu gong sebagai simbolik pelancaran ASEAN Travel Exchange (ATEX 2025) hari ini. KOTA KINABALU: …
Maklumat Lanjut

RAPTAI PENUH ISTIADAT PERBARISAN BERJALAN LANCAR

BINCANG: Leftenan Kol. Alphonsus menjelaskan sesuatu kepada Joachim (kiri). KOTA KINABALU: Cuaca baik kelmarin membolehkan raptai penuh Istiadat Perbarisan  sempena …
Maklumat Lanjut