RAMPASAN: Semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
SANDAKAN: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki cuba menyeludup minyak masak dan minyak petrol, di Kampung Pukat Jalan Bokara, di sini semalam.
Tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan Unit Risikan Marin Sandakan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Op Taring Landai Khas Kontraban, kira-kira jam 9 malam.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata sebelum itu pihaknya menahan sebuah lori dan pacuan empat roda diletakkan di tepi kampung berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan mendapati terdapat seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.
“Pemeriksaan lanjut berjaya menemukan sebanyak 146 kotak yang mengandungi 2,482 paket minyak masak bersubsidi dan 300 liter minyak petrol.
“Kita percaya semua barang rampasan berkenaan cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, suspek bersama semua barang kawalan dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM146,717 itu dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
“Tangkapan dan rampasan itu kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



