MYSCHOOLBUS@WILAYAH

PELBAGAI usaha murni dilakukan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah (B40), berpendapatan sederhana (M40) khusus M1 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dari aspek pengangkutan anak ke sekolah.

Merupakan antara lima inisiatif di bawah Wilayah Prihatin, program MySchoolBus@Wilayah pasti membuatkan golongan ibu bapa menarik nafas lega, apabila mereka tidak perlu menampung kos yang tinggi bagi yuran pengangkutan bas sekolah yang dianggarkan berjumlah sehingga RM150 bagi seorang pelajar.

Ini kerana, bas percuma yang disediakan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah bukan sahaja mengurangkan kos sara hidup bahkan membantu merancang perbelanjaan keluarga.

Ia merupakan masa yang tepat lebih-lebih lagi dalam tempoh mencabar sejak wabak Covid-19 melanda negara dan dunia yang mengakibatkan ramai pihak kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Menariknya program MySchoolBus@Wilayah yang bakal dilaksanakan pada Januari 2021 ini akan diperluas melibatkan 295 buah sekolah dari 141 perumahan kos rendah swasta di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

RM18 juta diperuntukkan tahun depan

SERAMAI 9,800 lagi pelajar dari kawasan perumahan kos rendah swasta meliputi 141 kawasan di seluruh Kuala Lumpur bakal mendapat manfaat daripada program MySchoolBus@Wilayah bermula tahun hadapan.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ahmad Faidsal Omar Al-Ahmadi, semua pelajar di kawasan tersebut layak tetapi pihak DBKL perlu melakukan saringan pendapatan isi rumah mengikut syarat yang ditetapkan.

“Kita akan menentukannya berdasarkan jumlah pendapatan perkapita. Kebiasaannya golongan B40, M40 (M1) ini purata gaji mereka di bawah RM5,800 sebulan dan boleh dikategorikan sebagai miskin bandar.

“Oleh itu, peruntukan yang dikhususkan untuk perbelanjaan bas sekolah anak-anak boleh digunakan bagi tujuan lain yang lebih mustahak.

“Mungkin mereka yang mempunyai seorang anak bersekolah tidak begitu terasa bebanan tersebut, namun ia cukup membebankan bagi yang memiliki lebih tiga orang anak yang mana purata tambang bas sekolah di Kuala Lumpur saat ini adalah sekitar RM60 hingga RM150 sebulan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, ujar Ahmad Faidsal, sejumlah RM18 juta diperuntukkan untuk program ini berbanding sebelumnya yang melibatkan RM11 juta bagi 9,704 pelajar meliputi 67 kawasan dari perumahan awam (PA) dan projek perumahan rakyat (PPR).

“Kita menyasarkan seramai 12,000 pelajar dalam tempoh satu tahun namun sekitar 9,000 hingga 10,000 pelajar sahaja yang berjaya diperoleh disebabkan populasi penduduk yang berbeza-beza
setiap tahun.

“Setakat ini seramai 5,620 pelajar telah mendaftar berbanding 9,800 jumlah yang kita sasarkan. Pun begitu, jumlah tersebut belum termasuk murid darjah satu kerana pendaftaran keputusan masuk sekolah hanya diketahui pada Ogos atau September ini.

“Bagi pelajar tingkatan satu pula, mereka masih menanti keputusan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhubung penetapan lokasi sekolah berdasarkan permohonan masing-masing,” jelasnya.

Selain daripada itu, ujarnya, jumlah pelajar yang mendaftar tersebut juga tidak termasuk tingkatan empat dan tingkatan enam memandangkan keduaduanya berhak memilih sekolah yang mereka kehendaki atau layak.

Mengulas tentang pengangkutan, katanya, setakat ini, sebanyak 105 pengusaha bas telah berdaftar dengan DBKL yang mana ia melibatkan 316 kenderaan pelbagai jenis seperti van, bas mini, sederhana serta berkapasiti besar.

“Kita juga ada membuat taklimat khusus pada Julai lalu untuk pengendali bas sekolah yang berminat untuk menyertai program ini.

“Ini juga adalah usaha untuk memberi peluang lebih besar kepada pengusaha bas untuk meningkatkan produktiviti dan ekonomi pada masa akan datang. “Selain itu, peluang turut dibuka kepada pengendali bas sekolah yang berdaftar di Selangor tetapi masih membawa pelajar dari kawasan Kuala Lumpur.

PROJEK PERINTIS

Mengulas lanjut, Ahmad Faidsal berkata, KWP hanya menyasarkan program MySchoolBus@Wilayah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana jumlah populasi di bandar raya itu lebih besar.

“Kuala Lumpur merupakan projek perintis kita kerana di sini ramai yang terkesan apabila kehilangan sumber pendapatan akibat Covid-19. Malah mereka juga sukar untuk mencari pekerjaan yang baru.

“Dalam masa yang sama, kita juga lihat ramai pengendali serta pengusaha bas tertumpu di Kuala Lumpur. Jika di Putrajaya misalnya, kita sedia maklum terdapat perkhidmatan bas yang efisien,” ungkapnya.

Ujarnya lagi, terdapat juga permintaan daripada ibu bapa yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah swasta yang menginginkan inisiatif tersebut sedangkan anak mereka tidak berpeluang bersekolah di Kuala Lumpur kerana kuota yang tidak mencukupi.

“Kita kena faham persempadanan Kuala Lumpur dan Selangor adalah bersebelahan sebagai contoh Cheras yang terbahagi kepada Kuala Lumpur dan Selangor.

“Maka, kita izinkan mereka untuk turut serta dengan syarat jarak dari rumah ke sekolah tidak melebihi 15 kilometer supaya manfaat bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi turut meliputi Selangor,” kata beliau.

Sumber: Wilayahku

Artikel/Berita Terkini

𝗪𝗔𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗣𝗔𝗖𝗔𝗞 – 𝗠𝗔𝗟𝗕𝗔𝗧𝗧

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) MALBATT Sebuah …
Maklumat Lanjut

𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐉𝐔𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐇𝐌𝐀𝐇 𝐁𝐄𝐑𝐆𝐄𝐑𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐉𝐔𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐇𝐌𝐀𝐇 𝐁𝐄𝐑𝐆𝐄𝐑𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut