Kementerian Pendidikan (KPM) sedang merancang untuk menempatkan pelajar warganegara Malaysia yang tinggal di Thailand dan merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram setiap hari untuk bersekolah di Malaysia, ke asrama bagi memastikan keselamatan mereka dan kelangsungan pendidikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata perbincangan bersama waris pelajar sedang dilakukan dan langkah ini selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan menguatkuasakan larangan penggunaan pangkalan haram mulai 1 Disember.
Selain itu, KPM akan memastikan pelajar memiliki pas sah untuk menyeberangi sempadan yang diwartakan.
Tindakan ini diambil susulan laporan bahawa hampir 500 pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah di Malaysia.
Fadhlina juga menegaskan KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyembunyikan kes disiplin pelajar, termasuk kes jenayah seperti penyalahgunaan dadah.
Sumber: Sinar Harian