TIGA KOMPAUN, EMPAT NOTIS, 73 SAMAN DIKELUAR DALAM OP GERAK KENDERAAN BERMOTOR

PERIKSA: Pegawai JAS menjalankan pemeriksaan salah sebuah kenderaan dalam operasi ini.

KOTA KINABALU: Sejumlah tujuh kenderaan  masing-masing akan disyor kompaun dan diberi notis untuk uji semula mengikut Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah dalam Op Bersepadu Peringkat Kebangsaan yang diadakan di sini.

Dalam operasi sama, 73 saman keseluruhan turut dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.

Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah Yaras Yusup berkata, operasi dijalankan di kawasan Taman Teluk Likas bermula jam 9.30 pagi dan berakhir sekitar jam 12.30 tengahari.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 96 buah kenderaan enjin diesel dan enjin petrol menjalani pemerhatian secara visual dan 16 buah kenderaan diuji menggunakan alat pengukur petrol dan meter asap.

“Sejumlah tiga kenderaan akan disyor kompaun manakala empat kenderaan diberi notis untuk uji semula mengikut Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“JSPT Kontinjen Sabah juga mengeluarkan 16 saman manakala JPJ Sabah mengeluarkan 57 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas kepada setiap kenderaan yang diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan  selepas operasi dijalankan.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) juga melakukan pemeriksaan terhadap 15 buah van dan pelancong manakala Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menjalankan ujian air kencing terhadap 16 individu dalam operasi ini.

“Pihak JAS Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996.

“Tindakan tegas seperti kompaun dan pendakwaan di mahkamah boleh diambil sekiranya kenderaan yang diperiksa gagal melepasi ujian pengukuran asap hitam bagi kenderaan enjin diesel dan gas bagi kenderaan enjin petrol.

“Kita juga akan melaksanakan kawalan bunyi bising motorsikal dalam operasi yang seterusnya,” katanya.

Menurutnya, operasi dijalankan dengan kekuatan 60 anggota daripada lima agensi penguatkuasa termasuk JSPT, AADK, JPJ dan KePKAS.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut

POLIS BURU DUA SUSPEK GUNA WANG RM100 PALSU

Polis sedang memburu dua suspek yang disyaki menggunakan dua wang palsu RM100 untuk membeli makanan di dua premis di Pekan …
Maklumat Lanjut